Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kastam Negeri Sembilan Tumpas Penyeludupan Barang Campur Dan Arak RM12.2 Juta
SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyeludupan barang campur dan minuman keras menerusi dua serbuan berasingan pada awal Julai lepas dengan nilai rampasan melebihi RM12.2 juta termasuk cukai.
Pengarah JKDM Negeri Sembilan Jamal Paiman berkata nilai rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM4.67 juta, manakala jumlah cukai yang terlibat adalah sebanyak RM7.60 juta.
Beliau berkata dalam serbuan pertama kira-kira 3 petang pada 1 Julai lepas, sepasukan anggota Cawangan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan menahan sebuah lori jenis Isuzu di kawasan Sepang, Selangor.
"Hasil pemeriksaan menemukan 426 kotak mengandungi 3,669 kilogram pelbagai jenis barang campur termasuk barangan elektronik dan alat ganti kenderaan disyaki tidak diikrarkan mengikut peraturan ditetapkan.
"Nilai sitaan barang campur berserta lori dianggarkan RM640,268, manakala duti dan cukai terlibat ialah RM69,873.48. Seorang lelaki berumur 34 tahun ditahan daripada serbuan ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan kedua kira-kira 9.30 malam pada hari sama, anggota daripada unit operasi yang sama melakukan pemeriksaan di sebuah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Klang, Selangor.
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 16,096 botol dan 568,470 tin pelbagai jenis minuman keras disyaki merupakan barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Nilai sitaan minuman keras dianggarkan RM4,026,531, manakala cukai terlibat dianggarkan RM7,533,186.92. Bagi kes ini, seorang lelaki berumur 27 tahun ditahan, kesemua barangan disita di bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967,” katanya.
Jamal berkata modus operandi sindiket ini adalah dengan mengimport dan menyimpan barangan termasuk minuman keras di gudang di dalam kawasan zon bebas sebelum dibawa keluar ke Kawasan Utama Kastam tanpa melalui prosedur yang sah.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, termasuk Seksyen 133(1)(a), Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Butiran 30(1)(a) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1990.