Kebakaran Dahsyat Di Biara Bersejarah Itali Berusia 400 Tahun
Lebih 21 biarawati berjaya diselamatkan daripada kebakaran besar yang memusnahkan sebahagian bangunan biara bersejarah di Itali, menurut pihak berkuasa tempatan.
Kebakaran itu dilaporkan bermula sekitar jam 8 malam waktu tempatan pada Sabtu (11 Oktober), di bahagian bumbung Biara Bernaga yang terletak di Perego, La Valletta, kira-kira 30 kilometer dari Milan, lapor BBC dan akhbar Itali Corriere della Sera.
Api marak dan musnahkan sebahagian struktur
Api marak dengan cepat dan membakar sebahagian besar struktur bangunan berusia hampir 400 tahun itu dalam tempoh beberapa jam.
Pasukan bomba tempatan segera dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan. Kesemua 21 biarawati yang tinggal di situ berjaya dipindahkan dengan selamat.
“19 daripada mereka kini ditempatkan bersama Komuniti Little Apostles di Ponte Lambro, manakala dua lagi dirawat di hospital berhampiran Erba,” tulis Ahli Majlis Wilayah, Massimo Sertori di Facebook.
Punca kebakaran disyaki litar pintas
Sertori turut memaklumkan bahawa kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik di salah satu sel yang dihuni oleh seorang rahib Ambrosian Romite.
Gambar yang dikongsikan olehnya menunjukkan keseluruhan bumbung biara dijilat api, manakala pasukan bomba dan beberapa jentera dilihat mengelilingi kawasan tersebut.
Seorang biarawati cedera ringan
Tiada kecederaan serius dilaporkan, kecuali seorang biarawati berusia 87 tahun yang mengalami keracunan asap ringan, menurut laporan Corriere della Sera.
Bagaimanapun, struktur utama bangunan mengalami kerosakan teruk, termasuk beberapa lukisan bernilai tinggi yang disimpan di dalam biara turut rosak akibat kebakaran itu.
Operasi memadam api masih diteruskan
Setakat Ahad (12 Oktober) api masih belum padam sepenuhnya. Dalam kenyataan di platform X (Twitter), pasukan bomba Itali Vigili del Fuoco.
“Sejak malam tadi, pasukan kami masih bertugas memadam kebakaran di Biara Bernaga, Valletta Brianza. Api kini terkawal, namun kerja-kerja pembersihan dan pemantauan masih diteruskan,” ujarnya.
Untuk info, Biara Bernaga dibina pada 1628 dan mempunyai nilai sejarah serta keagamaan yang tinggi. Di sinilah Santo Carlo Acutis, iaitu santo milenium pertama, menerima komuni pertamanya pada tahun 1998.
BACA: Jutawan Terkenal Ditemui Maut Dalam Kereta Mewah
Sumber: People.com
