Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kebenaran Solat Jumaat Di Musalla IOI City Mall Masih Berkuat Kuasa

Kebenaran Solat Jumaat Di Musalla IOI City Mall
Kredit: IOI City Mall

Kebenaran Solat Jumaat Di Musalla IOI City Mall Masih Berkuat Kuasa

IOI City Mall memaklumkan kebenaran pelaksanaan Solat Jumaat yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Musalla pusat beli belah itu masih kekal.

Menurutnya, kebenaran itu juga mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kebenaran yang diberikan pihak MAIS untuk pelaksanaan Solat Jumaat masih kekal dan kami menghargai kerjasama dan pemahaman semua pihak," kata IOI City Mall dalam kenyataan ringkas pada Jumaat.

Sebelum ini, MAIS dalam satu kenyataan berkata kebenaran itu telah diputuskan oleh pihaknya melalui Jawankuasa Tadbiri Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) setelah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Perkenan itu diberikan atas faktor pemeriksaan dan penelitian di lokasi ketika itu.

"Didapati bahawa premis tersebut mempunyai ramai kakitangan dan pekerja lelaki beragama Islam di samping menerima pengunjung termasuk dari kalangan lelaki beragama Islam.

"Mereka berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat memandangkan kedudukan masjid yang agak jauh daripada premis tersebut," katanya.

Selain itu, masjid yang terdekat dengan premis berkenaan ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato' Abu Bakar Baginda yang terletak pada jarak lebih kurang 7.6 kilometer dan Masjid UNITEN, Kajang yang terletak pada jarak lebih kurang 7.7 kilometer.

Ia juga atas faktor kedua-dua masjid tersebut tidak mampu menampung jumlah ahli jemaah yang ramai ketika mendirikan solat Jumaat.

Bagaimanapun, kebenaran solat Jumaat di situ adalah bersifat sementara.

"Kebenaran tersebut akan terhenti jika masjid baharu berhampiran premis tersebut telah dibina dan mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di premis tersebut untuk mendirikan solat Jumaat," kata MAIS dalam kenyataan pada 10 Julai.