Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kebenaran Solat Jumaat Di Musolla IOI City Mall Hanya Bersifat Sementara - MAIS

MAIS
Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin. Kredit: Bernama

Kebenaran Solat Jumaat Di Musolla IOI City Mall Hanya Bersifat Sementara - MAIS

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjelaskan bahawa kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya adalah bersifat sementara dan diberikan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, penjelasan itu dibuat susulan pelbagai reaksi yang timbul berhubung pelaksanaan solat Jumaat di musolla berkenaan selepas kenyataan media bertajuk “Ketetapan Berhubung Kebenaran Solat Jumaat di Surau/Musolla Pusat Beli-belah di Negeri Selangor” dikeluarkan pada 8 Julai lalu.

Menurut beliau, musolla tersebut terletak di dalam kompleks IOI City Mall, Putrajaya yang berada dalam daerah Sepang dan di bawah pengawasan serta pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sepang, Selangor.

“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di musolla itu telah diberikan bermula 6 September 2024 selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) serta mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk hasil pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan mempunyai ramai pekerja lelaki beragama Islam, selain menerima kehadiran pengunjung Islam yang berdepan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat kerana lokasi masjid yang agak jauh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata, antara faktor utama yang dipertimbangkan ialah kesukaran ribuan pekerja dan pengunjung Islam untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

Beliau menjelaskan, masjid terdekat ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Datuk Abu Bakar Baginda yang terletak kira-kira 7.6 kilometer dari pusat beli-belah berkenaan, manakala Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kajang berada pada jarak sekitar 7.7 kilometer.

Menurutnya, kedua-dua masjid tersebut juga tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai, sekali gus menyebabkan keperluan untuk membenarkan solat Jumaat di musolla berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kebenaran tersebut hanyalah bersifat sementara dan akan ditamatkan sebaik sahaja sebuah masjid baharu berhampiran siap dibina serta mampu menampung keperluan jemaah, termasuk pekerja di kawasan tersebut.

“MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di Negeri Selangor dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Negeri Selangor,” ujarnya.