Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia perlu memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman keselamatan baharu yang semakin kompleks, khususnya susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan keselamatan secara konvensional sahaja tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran semasa yang semakin berkembang.
Katanya dalam satu perkongsian di Facebook malam tadi, negara perlu memperkasakan keupayaan pertahanan bukan sahaja melalui penggunaan teknologi dan sistem keselamatan yang lebih moden, malah dengan melahirkan generasi muda yang celik digital serta berkemahiran tinggi.
“Pendekatan konvensional semata-mata tidak lagi memadai untuk menangkis ancaman baharu yang semakin kompleks, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital yang berkembang begitu pantas.
“Atas sebab itu, kita mesti memperkukuh keupayaan negara bukan sahaja melalui teknologi dan sistem keselamatan yang lebih canggih, malah dengan melahirkan bakat serta generasi muda yang celik digital, berkemahiran tinggi dan memahami cabaran keselamatan masa hadapan,” katanya.
Menurut Anwar, keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kesedaran serta penglibatan seluruh rakyat.
Beliau berkata, budaya berwaspada dan bertanggungjawab perlu dipupuk dalam setiap keluarga dan komuniti bagi membentuk benteng pertahanan negara yang lebih kukuh.
“Keselamatan negara bukan sekadar tanggungjawab agensi penguatkuasaan kerana ia adalah amanah bersama yang menuntut kesedaran serta peranan setiap rakyat, setiap keluarga dan setiap komuniti.
“Apabila budaya berwaspada dan bertanggungjawab dipupuk di setiap rumah, maka benteng pertahanan negara akan menjadi lebih kukuh,” ujarnya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Program Bulan Keselamatan Negara 2026 dan National Cyber Security Summit (NCSS) 2026.
Menurut beliau, Malaysia perlu bersedia mendepani landskap ancaman baharu menerusi penguasaan ilmu, teknologi, inovasi serta semangat kebersamaan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.