Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penganjur Tayangan Piala Dunia Di Gaza Terkorban Dalam Serangan Peluru Berpandu Israel

ISRAEL
Kredit: Instagram @mahmoudhamda

Penganjur Tayangan Piala Dunia Di Gaza Terkorban Dalam Serangan Peluru Berpandu Israel

Seorang pekerja bantuan kemanusiaan Palestin yang terkenal kerana menganjurkan tayangan awam perlawanan Piala Dunia FIFA di seluruh Gaza dilaporkan maut dalam satu serangan peluru berpandu Israel, hanya beberapa ketika sebelum penyokong bola sepak berkumpul menyaksikan perlawanan antara Mesir dan Argentina.

Menurut laporan CBS News, mangsa, Mohamed Al-Wahidi merupakan Pengarah Perhubungan Awam Jawatankuasa Bantuan Mesir di Gaza, sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di wilayah berkenaan.

Al-Wahidi sebelum ini menganjurkan tayangan terbuka perlawanan Piala Dunia di beberapa lokasi di Gaza, membolehkan penduduk menyaksikan kejohanan itu secara bersama walaupun dikelilingi runtuhan bangunan akibat konflik.

Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohamed Abu Selmiya berkata, Al-Wahidi terbunuh selepas sebuah kenderaan yang dinaikinya diserang di Bandar Gaza pada waktu senja Selasa, sejurus sebelum sepak mula perlawanan Mesir menentang Argentina.

Menurut beliau, tiga lagi individu turut terkorban dalam serangan tersebut iaitu pemandu kenderaan, Ahmed Daghmush, 33, serta dua beradik, Hamza al-Deri, 10, dan Fari al-Deri, lapan tahun.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, serangan tersebut menyasarkan seorang anggota sayap ketenteraan Hamas yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

“IDF menyedari dakwaan bahawa orang awam yang tidak terbabit turut tercedera akibat serangan itu dan insiden tersebut sedang disiasat.

“IDF kesal terhadap sebarang kecederaan yang menimpa orang awam serta mengambil segala langkah yang munasabah bagi mengurangkan risiko sedemikian,” katanya seperti dipetik CBS News.

Walaupun tragedi itu berlaku, tayangan perlawanan Piala Dunia tetap diteruskan pada malam berkenaan dengan kehadiran ramai penduduk Gaza yang berkumpul untuk memberikan sokongan kepada pasukan Mesir.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Bantuan Mesir di Gaza menyifatkan pemergian Al-Wahidi sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat Palestin.

Menurut organisasi itu, Al-Wahidi dikenali sebagai tokoh masyarakat yang banyak memainkan peranan dalam usaha perdamaian komuniti serta sentiasa berusaha menyelesaikan pertikaian dan mengukuhkan nilai kasih sayang, toleransi serta perpaduan dalam kalangan rakyat Palestin.

Sepanjang kejohanan Piala Dunia, jurulatih skuad kebangsaan Mesir, Hossam Hassan, turut beberapa kali menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin, termasuk membuat rayuan agar masyarakat antarabangsa tidak melupakan penderitaan penduduk Gaza dan Tebing Barat.

CBS News turut melaporkan bahawa sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas dipersetujui pada Oktober lalu, sekurang-kurangnya 1,084 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan berterusan di Gaza, termasuk sembilan mangsa yang direkodkan pada Rabu, menurut pegawai kesihatan tempatan.

Sumber:CBS News,BBC