Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kecoh Dakwaan Penyebaran Plague Di Rusia, Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Plague Di Rusia
Ibu pejabat badan pemantau pengguna dan kesihatan Rusia, Rospotrebnadzor, di Moscow. Kredit: AFP

Beberapa hari lalu, dunia dikejutkan dengan berita kematian seorang pekerja makmal di Rusia yang kemudian dikaitkan dengan dakwaan wabak plague.

Lebih mencetuskan kebimbangan apabila timbul laporan bahawa pekerja berkenaan mungkin terdedah kepada bakteria penyebab plague selepas sebuah tiub uji pecah di makmal.

Dalam masa sama, puluhan individu yang pernah mempunyai kontak dengannya dilaporkan telah dikuarantin dan menjalani pemantauan kesihatan.

Situasi itu kemudian mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa Rusia mungkin sedang berdepan penularan wabak plague. Namun, apa sebenarnya yang berlaku?

Bermula dengan kematian seorang pekerja makmal

Pekerja terbabit dikenali sebagai Darya Shipilova, 28, yang bertugas di Institut Penyelidikan Anti-Plague Irkutsk Siberia.

Menurut Gabenor wilayah Irkutsk, Igor Kobzev, wanita berkenaan meninggal dunia akibat pneumonia yang puncanya masih belum dikenal pasti.

Beberapa laporan media tempatan mendakwa Darya mungkin terdedah kepada bakteria penyebab plague selepas sebuah tiub uji pecah ketika berada di makmal.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih belum disahkan.

Darya Shipilova. Kredit: The Guardian

Malah, pihak berkuasa Rusia berkata setakat ini tiada bukti menunjukan berlaku kemalangan ketika pengendalian patogen di makmal berkenaan. Kobzev turut memaklumkan bahawa ujian makmal menyeluruh tidak menemui mikroorganisma berkaitan dengan aktiviti profesional Darya dalam sampel biologinya.

Menurutnya, tiada pekerja lain dari institut tersebut mendapatkan rawatan perubatan sejak beberapa hari lalu.

Rospotrebnadzor, badan kerajaan Rusia yang bertanggungjawab terhadap kesihatan awam, turut menyatakan bahawa tiada petunjuk berlaku sebarang insiden ketika patogen dikendalikan di makmal itu.

Kenapa ramai dikuarantin?

Persoalan ini mungkin timbul apabila puluhan individu yang pernah mempunyai kontak dengan Darya dilaporkan dikuarantin. Namun, langkah tersebut dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga sementara pihak berkuasa cuba mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Datuk bandar daerah Shelekhovsky, Maxim Modin berkata langkah pencegahan wabak secara menyeluruh telah dilaksanakan di kawasan berkenaan. Individu yang mempunyai kontak dengan pekerja tersebut juga menjalani ujian setiap hari dan berada di bawah pemantauan petugas perubatan.

Media tempatan turut melaporkan bahawa wad pesakit di Hospital Shelekhov iaitu tempat Darya meninggal dunia, ditutup kerana disyaki melibatkan satu 'jangkitan yang sangat berbahaya'.

Penduduk juga dikatakan tidak dibenarkan melawat ahli keluarga di hospital itu buat sementara waktu. Bagaimanapun, laporan mengenai penutupan tersebut masih belum disahkan oleh pegawai kerajaan.

Susulan pelbagai dakwaan yang tersebar, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov meminta orang ramai mendapatkan perkembangan rasmi daripada Rospotrebnadzor dan tidak bergantung kepada khabar angin atau spekulasi.

Betul ke meninggal kerana wabak plague?

Setakat maklumat yang ada, tidak dapat disahkan bahawa Darya meninggal dunia akibat plague. Dia hanya disahkan meninggal dunia akibat pneumonia yang puncanya masih belum dikenal pasti.

Dakwaan mengenai tiub uji pecah dan pendedahan kepada bakteria penyebab plague pula kekal sebagai laporan yang belum disahkan.

Di media sosial pula, ada pengguna yang mula membandingkan situasi itu dengan laporan pada peringkat awal penularan COVID-19 pada 2020. Namun, pakar mengingatkan bahawa kedua-duanya merupakan penyakit yang sangat berbeza.

Apa itu plague?

Profesor Madya dalam bidang mikrobiologi selular di University of Reading, Dr Simon Clarke menjelaskan bahawa plague disebabkan bakteria Yersinia pestis. Bakteria sama turut dikaitkan dengan Black Death atau Wabak Hitam yang mengorbankan jutaan manusia di Eropah pada abad ke-14.

Plague mempunyai tiga bentuk utama iaitu bubonic, septicemic dan pneumonic.

Bubonic plague biasanya berlaku selepas gigitan kutu yang dijangkiti dan boleh menyebabkan pembengkakan pada bahagian tertentu badan.

Septicemic plague pula berlaku apabila bakteria memasuki aliran darah.

Manakala, pneumonic plague menyerang paru-paru dan boleh merebak antara manusia melalui titisan pernafasan ketika kontak rapat. Antara simptomnya termasuk demam, lemah badan, batuk dan pneumonia yang boleh berkembang dengan cepat.

Menurut Clarke, pneumonic plague amat serius jika tidak dirawat dengan segera.

Bagaimanapun, berbeza dengan kebanyakan penyakit pernafasan yang berpunca daripada virus, plague disebabkan oleh bakteria dan secara umumnya boleh dirawat menggunakan antibiotik sekiranya dikenal pasti dengan cepat.

Mengulas dakwaan mengenai tiub uji yang pecah, Clarke turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan terlalu awal.

Menurutnya, kejadian patogen terlepas dari makmal bukan sesuatu yang mustahil, tetapi banyak perkara perlu berlaku sehingga seorang pekerja boleh dijangkiti hanya disebabkan sebuah tiub uji pecah.

Adakah plague masih wujud hari ini?

Walaupun sering dikaitkan dengan sejarah Black Death, plague sebenarnya masih wujud hingga hari ini. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bakteria Yersinia pestis masih mempunyai reservoir semula jadi di beberapa bahagian dunia.

Kes plague masih direkodkan, terutama di Republik Demokratik Congo dan Madagascar.

Kredit: WHO

Wabak plague juga boleh berlaku dari semasa ke semasa. Madagascar misalnya mencatatkan kes plague hampir setiap tahun, khususnya antara September hingga April.

Sebab itu, sekiranya berlaku kes yang disyaki melibatkan pneumonic plague, pemantauan dan pengesanan kontak perlu dilakukan dengan pantas kerana ia boleh merebak antara manusia.

Tak perlu panik, tapi perlu diberi perhatian

Dalam pada itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) turut memantau perkembangan kes berkenaan.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata situasi itu perlu diberi perhatian, namun setakat ini beliau tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang perlu mencetuskan panik.

Intipati
  • Darya Shipilova meninggal dunia akibat pneumonia yang puncanya masih belum dikenal pasti.
  • Dakwaan tiub uji pecah dan pendedahan bakteria plague masih belum disahkan pihak berkuasa.
  • Kontak rapat dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga sementara punca kematian dikenal pasti.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan