Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kedah & Kuala Lumpur Cipta Sejarah, Berjaya Mara Ke Pusingan Kalah Mati Piala AFC
Dua kelab Liga Super Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuala Lumpur City (KLC) berjaya mencipta sejarah apabila berjaya melangkah ke pusingan kalah mati Piala AFC.
Menurut catatan tweet AFC, KDA mara selaku juara Kumpulan G selepas berjaya menumbangkan kelab dari Kemboja, Visakha FC dengan jaringan 5-1.
Turun dengan aksi menekan, KDA bagaimanapun terlebih dahulu ketinggalan sebelum mengemaskan permainan untuk membelasah kelab berkenaan dengan lima jaringan. Gol-gol KDA dijaringkan oleh Mahmoud Al-Mardi yang mencetak hatrik pada minit 28, 45 dan 54. Dua lagi jaringan disumbangkan oleh Fayadh Zulkifli pada minit 67 dan R. Ngah Wanja pada minit 76.
Ini merupakan kali pertama KDA berjaya ke pusingan kalah mati selepas membuat kemunculan di pentas Asia pada 2009.
Manakala KLC pula berjaya mara ke pusingan seterusnya sebagai naib juara terbaik Zon ASEAN selepas menewaskan wakil Singapura, Tampines Rovers 2-1. Kejayaan ini lebih manis memandangkan ia adalah kemunculan pertama KLC di pentas Asia.
Selain itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini juga berjaya menempatkan diri di pusingan kalah mati dalam saingan lebih tinggi di Liga Juara-juara Asia.
Manakala bagi skuad kebangsaan pula, pasukan Harimau Malaya juga berjaya mara ke Piala Asia, menamatkan penantian peminat bola sepak tanah air untuk melihat skuad kebangsaan mara ke pentas tertinggi bola sepak Asia secara merit.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke kejohanan itu adalah pada 1980. Malaysia juga pernah beraksi di pentas yang sama pada 2007, bagaimanapun atas kapasiti sebagai tuan rumah bersama di mana Piala Asia edisi tersebut dianjurkan di beberapa buah negara ASEAN.
Kejayaan Kedah dan Kuala Lumpur mara ke pusingan kalah mati Piala AFC serta JDT mara ke pusingan seterusnya dalam ACL selain pasukan kebangsaan yang turut layak ke Piala Asia dalam musim yang sama merupakan detik-detik terbaik untuk bola sepak tanah air.
BACA: “Split Personality”, Macam Mana Orang Boleh Ada Banyak Personaliti? Ini Penjelasannya
Sumber: AFC