Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kedah Salur Bantuan RM1,000 Kepada KIR Yang Pindah Ke PPS
ALOR SETAR — Kerajaan Kedah hari ini memaklumkan akan segera menyalurkan pemberian Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Dalam satu kenyataan di Facebook, Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit.
Ia susulan bencana banjir yang sedang melanda beberapa daerah di negeri berkenaan.
“Saya ingin menasihatkan semua individu yang terbabit agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS.
“Kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.
“Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan,” katanya.
Tambah ADUN Jeneri itu, PKOB Negeri dan PKOB Daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari masa ke masa.
“Ibu bapa terutamanya awasilah anak-anak anda bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Ini adalah ujian daripada Allah SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak lebih mudarat dan dipermudahkan urusan bagi kita semua,” katanya lagi.
Setakat jam 2 petang tadi, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kota Setar, Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim (3) dan Kuala Muda (3).
Seramai 3,835 mangsa dengan 1,137 KIR ditempatkan di kesemua PPS berkenaan.
https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1116322316721492&id=100050312027107&rdid=nbYCLQ6YYDveS9Kt
Sumber: Fb Muhammad Sanusi Md Nor