Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang merupakan persinggahan sementara (port of call).
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata persinggahan pada 14 hingga 16 Mac 2026 itu bertujuan urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
“Port of call oleh kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
“Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan (confidence building) serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara,” jelas beliau.
Tambah Khaled, port of call bertujuan memberi ruang kepada kapal bagi melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta memberi peluang kepada anak kapal berehat.
“Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.
“Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, situasi tersebut turut berlaku secara berkala dengan melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara.
Antara lain termasuk negara-negara raan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka mahupun Laut China Selatan yang bertujuan eksesais dua hala.
Begitu juga yang melaksanakan eksesais pelbagai hala dan misi antarabangsa yang memastikan kestabilan serantau serta keamanan sejagat.
Perkara berkenaan termaktub dalam Kertas Putih Pertahanan.
“Sepanjang tahun 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan (port of call), antaranya Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat,” ulas beliau lanjut.