Baru-baru ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah melaporkan satu kematian akibat rabies melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu.
Kes tersebut merupakan kematian pertama akibat rabies dilaporkan di Kedah sejak 1998, sekali gus kembali mengingatkan orang ramai mengenai bahaya penyakit berkenaan.
Kematian Akibat Rabies Pertama Di Kedah Sejak 1998
Menurut JKN Kedah, lelaki itu mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu dan mendapatkan rawatan selepas kejadian, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies.
Pada 18 September, dia mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan sebelum mengalami kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia serta perubahan tingkah laku beberapa hari kemudian.
Dia mendapatkan rawatan semula pada 23 September sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala sampel klinikal yang diambil pada 24 September mengesahkan jangkitan rabies pada 26 September.
Lelaki berkenaan bagaimanapun meninggal dunia pada 27 September.
Jadi, apa sebenarnya rabies, bagaimana penyakit ini boleh menjangkiti manusia dan adakah ia boleh dirawat?
Apa Itu Rabies & Bagaimana Ia Merebak?
Rabies ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus daripada genus Lyssavirus yang menyerang sistem saraf pusat manusia serta haiwan mamalia.
Penyakit ini biasanya merebak melalui air liur haiwan yang dijangkiti, terutama apabila seseorang digigit atau dicakar sehingga menyebabkan luka.
Air liur haiwan yang dijangkiti juga boleh menyebabkan jangkitan jika terkena luka terbuka atau bahagian seperti mata dan mulut.
Di Malaysia, anjing merupakan antara haiwan yang paling banyak dikaitkan dengan penularan rabies kepada manusia, termasuk melalui gigitan anjing terbiar.
Selepas memasuki tubuh, virus rabies boleh bergerak melalui saraf menuju ke otak dan saraf tunjang sebelum menyebabkan pelbagai gangguan pada sistem saraf.
Namun, bukan setiap gigitan anjing bermaksud seseorang sudah dijangkiti rabies, tetapi pendedahan kepada haiwan yang disyaki membawa virus perlu dinilai dengan segera kerana penyakit ini boleh membawa maut selepas simptom muncul.

Apa Simptom Rabies?
Pada peringkat awal, rabies boleh menyebabkan gejala seperti demam, sakit badan, sakit kepala serta rasa sakit, gatal atau kebas pada kawasan luka.
Apabila virus mula menyerang sistem saraf, pesakit boleh mengalami kesukaran menelan, keresahan, perubahan tingkah laku, hidrofobia (takut kepada air) dan aerofobia (takut pada aliran udara).
Dalam sesetengah kes, pesakit juga boleh mengalami kelumpuhan yang berkembang sehingga menyebabkan koma dan kematian.
Adakah Rabies Boleh Membawa Maut?
Ya, rabies mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi apabila simptom klinikal sudah muncul di mana ia membawa kadar kematian 100 peratus selepas virus menjangkiti sistem saraf, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Namun, seseorang yang digigit atau dicakar haiwan yang berpotensi membawa rabies tidak semestinya akan meninggal dunia kerana jangkitan masih boleh dicegah jika PEP diberikan sebelum simptom bermula.
PEP biasanya melibatkan pencucian luka, pemberian vaksin rabies serta rabies immunoglobulin (RIG) atau antibodi monoklonal bagi pendedahan yang memerlukannya.
Garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menetapkan rawatan luka, vaksin rabies dan suntikan RIG mengikut tahap risiko pendedahan.
Ada Rawatan Untuk Rabies?
Bagi individu yang terdedah kepada rabies, PEP perlu diberikan secepat mungkin bagi menghalang virus daripada berkembang sebelum mencapai sistem saraf pusat.
Langkah pertama ialah mencuci luka menggunakan sabun dan air mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mendapatkan rawatan di klinik atau hospital dengan segera.
PEP perlu diberikan sebelum simptom rabies muncul kerana apabila tanda klinikal sudah bermula, penyakit ini hampir sentiasa membawa maut.

Bagaimana Kerajaan Kawal Rabies Di Malaysia?
Pengawalan rabies di Malaysia melibatkan kerjasama antara sektor kesihatan manusia, veterinar dan agensi berkaitan melalui pendekatan One Health.
KKM memberi tumpuan kepada pengurusan individu yang terdedah, pemantauan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta pemberian PEP kepada individu yang memerlukannya.
Pada masa sama, kawalan terhadap haiwan turut dilaksanakan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit daripada haiwan kepada manusia.
Dalam kes terbaru di Kedah, JKN Kedah bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi berkaitan menjalankan pengesanan serta pemantauan kes gigitan haiwan, selain penilaian risiko terhadap haiwan yang berpotensi terdedah.
Pemilik haiwan juga memainkan peranan dengan memastikan anjing dan kucing menerima vaksinasi anti-rabies serta tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran tanpa kawalan.
Di bawah Akta Binatang 1953, kerajaan negeri turut mempunyai kuasa untuk mewajibkan vaksinasi anti-rabies terhadap anjing di kawasan yang ditetapkan.
WHO turut menyatakan bahawa vaksinasi anjing merupakan antara kaedah paling berkesan untuk mencegah rabies dalam kalangan manusia kerana ia dapat memutuskan penularan virus daripada sumbernya.
Kes di Kedah menunjukkan mengapa gigitan atau cakaran daripada haiwan yang berpotensi membawa rabies tidak boleh dipandang ringan.
Walaupun seseorang masih berasa sihat selepas terdedah, luka perlu dicuci segera dan pemeriksaan perubatan perlu dibuat bagi menentukan sama ada PEP diperlukan.

