Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kementerian Digital Anjur Sidang Meja Bulat Datuk Bandar, Rangka Hala Tuju Ke Arah Transformasi Bandar Pintar

Athirah
Kementerian Digital

Kementerian Digital Anjur Sidang Meja Bulat Datuk Bandar, Rangka Hala Tuju Ke Arah Transformasi Bandar Pintar

Kementerian Digital hari ini telah menganjurkan Sidang Meja Bulat Datuk Bandar bagi menghimpunkan pemimpin bandar dari seluruh negara bagi merangka hala tuju bersama ke arah transformasi bandar pintar.

Bertempat di Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC), sidang ini dipengerusikan oleh Menteri Digital iaitu YB Gobind Singh Deo.

Di samping itu, tiga objektif strategik yang diberi fokus ialah pembangunan serta perkongsian infrastruktur digital, pendigitan dan perkongsian data, serta pembinaan kembar digital (digital twin) bagi tujuan simulasi dan perancangan bandar.

Sidang ini telah menjadi platform penting untuk para Datuk Bandar dan pihak berkuasa tempatan berkongsi pandangan, menyelaras strategi dan meneroka model kerjasama. Ia bertujuan bagi mempercepatkan penerapan teknologi AI dan 5G dalam tadbir urus bandar.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Dato’ Seri TPr (Dr) Maimunah Mohd Sharif (Datuk Bandar Kuala Lumpur), Dato’ Jusman bin Ibrahim (Datuk Bandar Kuala Terengganu), Dato’ Sri Dr. Hj. Sabin bin Samitah (Datuk Bandar Kota Kinabalu) dan Puan Safriah binti Md Azhar (Timbalan Datuk Bandar Shah Alam).

Kementerian Digital baru-baru ini telah menyerahkan Geran Perusahaan 5G & Bandar AI kepada beberapa pihak berkuasa tempatan dan rakan industri terpilih sebagai tanda sokongan kepada visi ini.

Selain itu, geran ini bertujuan memperkasa inovasi tempatan dalam bidang seperti pengangkutan autonomi, koridor dron, sistem pemantauan berasaskan AI, dan penyelesaian mobiliti pintar yang bersepadu.

“Dialog seperti ini amat penting untuk membuka ruang perbincangan yang konstruktif, menyatukan visi serta menyelaras tindakan antara bandar

“Dengan harapan pendekatan pembangunan yang berpaksikan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dapat disesuaikan dengan keperluan dan realiti tempatan secara lebih berkesan,” kata YB Gobind yang turut menekankan kepentingan transformasi digital yang inklusif dan responsif.

Sidang ini juga menjadi pemangkin kepada Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) yang akan berlangsung pada 17–19 September 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Kementerian Digital dengan kerjasama MDEC dan DNB, SCEKL25 akan mengetengahkan tema “AI Cities – Shaping Our Digital Future”, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam inovasi bandar pintar.

Sumber: Kementerian Digital