Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenali Simptom Pendarahan Otak, Jangan Tunggu Hingga Terlambat

Pendarahan Otak
Gambar Hiasan

Baru-baru ini, sukan golf dikejutkan dengan kematian pemain golf profesional muda Australia, Jesicca Bang yang sedang membina nama di usia 18 tahun.

Menurut laporan, pada 1 Ogos 2026, Jessica berada di Bangkok untuk membuat persiapan bagi kejohanan kelayakan golf antarabangsa sebelum tiba-tiba rebah.

Selepas tiba di hospital, doktor mendapati berlaku pendarahan di otaknya dan Jessica telah menjalani pembedahan kecemasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, hampir dua minggu kemudian pada 13 Ogos, Jessica meninggal dunia.

Pendarahan Otak Boleh Berlaku Kepada Sesiapa Sahaja

Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia berkata inilah bahaya pendarahan otak kerana ia tidak semestinya akan memberi amaran beberapa hari sebelum menyerang.

“Apabila salur darah pecah, darah boleh keluar ke dalam atau di sekeliling otak. Pendarahan dan peningkatan tekanan di dalam tengkorak boleh merosakkan tisu otak dengan pantas,” kata Public Health Malaysia.

Dalam pada itu, Public Health Malaysia juga mengingatkan bahawa pendarahan otak tidak hanya berlaku kepada orang tua atau warga emas malah orang muda juga boleh terkena.

Jelas Public Health Malaysia, antara punca pendarahan otak berlaku pada individu muda ialah salur darah abnormal seperti arterioveneous malformation (AVM) atau aneurisma yang pecah.

“Ada keadaan ini yang boleh wujud bertahun-tahun tanpa disedari,” jelasnya.

Apa yang lebih penting adalah kenali tanda bahaya seperti sakit kepala yang datang secara tiba-tiba dan sangat kuat terutama sakit kepala yang terasa berbeza daripada biasa.

“Jangan sekadar tidur dan tunggu ia hilang. Lebih-lebih lagi jika disertai muntah, lemah atau kebas sebelah badan, percakapan menjadi pelo, penglihatan terganggu, sawan, keliru atau tiba-tiba pengsan.

“Ini boleh jadi tanda kecemasan neurologi dan memerlukan pemeriksaan hospital dengan segera,” katanya.

Jessica baru sahaja memulakan perjalanannya dengan penampilan profesionalnya yang kelima pada Februari lalu di mana dia memenangi kejohanan kelayakan Women's NSW Open dengan kelebihan lima pukulan dan mencatat rekod padang.

Beberapa bulan kemudian, dunia golf kehilangan satu bakat yang baru mahu berkembang.

Namun kisah ini bukan membuatkan semua orang takut apabila sakit kepala tetapi ia untuk mengingatkan kita bahawa tubuh kadangkala memberikan amaran yang tidak boleh ditangguhkan.

Jangan tunggu esok, jangan tengok sama ada dia akan baik sendiri, dapatkan bantuan kecemasan segera jika mengalami simptom-simptom di atas kerana bila pendarahan otak berlaku, setiap minit boleh membawa perbezaan.

Intipati
  • Jessica Bang rebah di Bangkok sebelum doktor mengesan pendarahan otak dan melakukan pembedahan kecemasan.
  • Public Health Malaysia berkata pendarahan otak boleh berlaku tanpa amaran, termasuk kepada orang muda.
  • Simptom bahaya termasuk sakit kepala kuat tiba-tiba, muntah, kebas, pelo, sawan atau pengsan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan