Kenapa Duit Malaysia Dipanggil Ringgit? Ini Jawapannya
Wang merupakan antara benda yang paling dekat dengan kehidupan seharian. Hampir setiap urusan, daripada membeli makanan hinggalah membayar bil dan barangan keperluan, semuanya melibatkan penggunaan wang.
Di Malaysia, kita sudah biasa dengan istilah ringgit apabila menyebut nilai sesuatu barangan. Sama ada RM1, RM10 atau RM100, perkataan “ringgit” begitu sebati dalam percakapan seharian sehingga jarang kita tertanya-tanya tentang asal-usulnya.
Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana perkataan “ringgit” dipilih sebagai nama mata wang Malaysia?
Rupanya, di sebalik nama yang kita gunakan setiap hari itu terdapat kisah sejarah yang menarik.
Asal-usul nama “Ringgit”
Nama “ringgit” dipercayai berasal daripada wang perak Sepanyol yang mempunyai sisi bergerigi dan pernah digunakan secara meluas pada zaman dahulu.
Pada Ogos 1975, istilah “Ringgit” diterima secara rasmi sebagai nama mata wang Malaysia. Sebelum itu, mata wang negara dikenali sebagai “dollar” dalam Bahasa Inggeris dan “ringgit” dalam Bahasa Melayu.
Bila simbol RM mula digunakan?
Walaupun kini kita begitu sinonim dengan simbol “RM”, ia sebenarnya bukan simbol asal yang digunakan untuk mata wang Malaysia.
Simbol “$” pernah digunakan bagi mata wang negara sehingga tahun 1993 sebelum ditukar kepada “RM”, yang merujuk kepada “Ringgit Malaysia”.
Sejak itu, simbol RM terus digunakan sehingga hari ini bagi membezakan mata wang Malaysia dengan mata wang lain yang turut menggunakan simbol “$”.
Apakah nilai wang Ringgit Malaysia?
Ringgit Malaysia mempunyai kod mata wang MYR dan digunakan dalam bentuk wang kertas serta syiling.
Wang kertas yang digunakan adalah bernilai RM100, RM50, RM20, RM10, RM5 dan RM1, manakala wang syiling pula terdiri daripada 50 sen, 20 sen, 10 sen dan 5 sen.
Kenapa syiling satu sen dihentikan?
Penggunaan syiling satu sen di Malaysia dihentikan pada 1 April 2008 selepas mekanisme pembundaran diperkenalkan.
Melalui mekanisme tersebut, jumlah bayaran akan dibundarkan kepada nilai lima sen terhampir, sekali gus menyebabkan penggunaan syiling satu sen tidak lagi diperlukan dalam urusan pembayaran.

