Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pernah atau tidak anda terfikir selama ini kita tidak sedar mengenai ‘kehadiran’ hidung sendiri walaupun ia sentiasa berada di depan mata?
Persoalannya, kenapa kita jarang perasan bahagian tubuh itu sedangkan ia sentiasa berada dalam medan penglihatan kita?
Untuk pengetahuan, perkara ini sebenarnya telah lama dikaji oleh pakar dan saintis bagi memahami bagaimana otak manusia memproses maklumat visual.
Menurut saintis penglihatan dan pengarah bersama program neurosains di University of Nevada, Reno, Michael Webster, manusia tidak melihat dunia seadaanya, sebaliknya berdasarkan gambaran atau model yang dibina oleh otak untuk membantu kita menjalani hidup.
Ujarnya, manusia sebenarnya boleh melihat hidung sendiri, namun kebanyakan masa kita tidak menyedarinya kerana otak sudah mengetahui ia berada di situ dan tidak perlu memberikan perhatian secara berterusan.

Webster menjelaskan bahawa 'pengabaian' tersebut masuk akal dari sudut kelangsungan hidup.
Manakan tidak, jika kita memproses secara berterusan ciri yang tidak berubah seperti hidung, ia hanya akan membazirkan sumber mental yang terhad.
Walhal, kita perlu mengesan ancaman, mencari makan atau bergerak dalam persekitaran.
"Satu kerugian besar jika sebahagian tenaga mental dibazirkan untuk memberikan perhatian kepada perkara itu," katanya.
Malah, otak kita sebenarnya menapis pelbagai maklumat mengenai tubuh sendiri bagi membantu kita melihat dan memahami dunia luar.
Sebenarnya, anda mungkin sedang menyedari kewujudan hidung anda sekarang hanya kerana anda membaca artikel ini dan sedang memikirkannya.
“Jika anda secara sedar cuba melihat sesuatu, anda akan mula menyedarinya,” kata Webster.
Fenomena hidung yang seolah-olah ‘hilang’ daripada pandangan ini sebenarnya mendedahkan sesuatu yang menarik tentang cara manusia menghadapi realiti.
Penglihatan kita bukan seperti kamera yang merakam apa sahaja yang benar-benar berada di hadapan. Sebaliknya, ia lebih menyerupai seorang pelukis yang membina gambaran dunia berdasarkan apa yang paling berguna kepada kita.
Webster membawa idea itu lebih jauh dengan mengatakan bahawa kita mungkin sebenarnya tidak melihat realiti sebagaimana adanya.

Penjelasan Webster itu turut selari dengan kajian Elio Quiroga Rodriguez yang membincangkan bagaimana imej hidung ditapis daripada kesedaran ketika manusia menggunakan kedua-dua mata.
Menurutnya, setiap mata melihat hidung daripada sudut yang berbeza. Pada masa sama, kedudukan hidung sentiasa boleh dijangka dan maklumat mengenainya tidak begitu penting dalam kebanyakan aktiviti harian.
Disebabkan itu, imej hidung secara efektif ditapis daripada kesedaran, sekali gus membolehkan perhatian diberikan kepada maklumat persekitaran yang lebih penting.
Jadi, bukanlah hidung kita benar-benar ‘hilang’ daripada pandangan. Mata masih menerima imejnya, cuma otak kebiasaannya tidak memberikan perhatian kepadanya sepanjang masa.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan