Topik berkaitan penjodoh bilangan mencuri perhatian ramai di media sosial susulan perbincangan mengenai soalan Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Malah, ramai juga yang mengimbau kembali mengenai topik itu ketika belajar di sekolah dahulu.
Untuk pengetahuan, penjodoh bilangan ialah kata nama yang menjadi pasangan kepada kata bilangan, iaitu sebagai penerang bentuk atau keadaan pada kata nama yang mengikutinya.
Namun, pernahkah anda terfikir mengapa kita menggunakan perkataan 'buah' apabila menyebut sebuah kereta, sebuah rumah atau sebuah komputer?
Sedangkan ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan buah-buahan seperti epal, oren atau pisang. Jadi, mengapa perkataan 'buah' digunakan dan apakah maksud sebenar di sebalik penggunaannya?

Kenapa kereta dan rumah menggunakan penjodoh bilangan 'buah'?
Sebenarnya, penggunaan 'buah' dalam konteks ini tiada kaitan dengan buah-buahan yang biasa kita makan.
Sebaliknya, penjodoh bilangan 'buah' digunakan untuk benda-benda besar dan padu, yang tidak mempunyai bentuk yang tertentu.
Antara contoh penggunaan penjodoh bilangan ini termasuk:
Sebuah kereta
Sebuah rumah
Sebuah negeri
Sebuah buku
Sebuah kotak
Sebuah radio
Sebuah bandar
Sebuah kampung
Sebuah piano
Sebuah komputer
Sebuah kamera
Oleh itu, perkataan 'buah' dalam ayat berfungsi sebagai penjodoh bilangan untuk menghitung benda atau tempat berkenaan, bukannya merujuk kepada buah-buahan.
Setiap penjodoh bilangan mempunyai kegunaan berbeza
Selain 'buah', bahasa Melayu turut mempunyai pelbagai jenis penjodoh bilangan lain yang digunakan mengikut kesesuaian kata nama.
Sebagai contoh, 'ekor' digunakan untuk semua jenis binatang seperti seekor kucing dan seekor kambing, manakala 'helai' pula digunakan untuk benda-benda yang nipis dan lebar seperti sehelai kertas atau sehelai daun.

Begitu juga dengan perkataan 'batang' yang digunakan untuk benda yang panjang seperti sebatang pensel atau sebatang lilin, manakala 'jambak' pula digunakan untuk menunjukkan benda-benda yang bertangkai atau berangkai-rangkai seperti sejambak bunga.
Namun, tidak semua benda diberikan penjodoh bilangan. Ia lazimnya mengikut bentuk atau konsep sesuatu benda.
Setiap penjodoh bilangan juga tidak semestinya bergantung pada fizikal tetapi mengikut konteks atau kesesuaian dalam ayat.

