Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kenyataan JAKIM Berhubung Isu 80 Murid Gagal Duduki UPKK 2025
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menzahirkan perhatian serius terhadap laporan melibatkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong, Selangor yang tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025.
Dalam satu kenyataan, JAKIM memaklumkan bahawa pihaknya amat memahami kegusaran dan kekecewaan ibu bapa serta murid yang terkesan.
Ini memandangkan UPKK merupakan antara pentaksiran penting dalam menilai kefahaman dan penghayatan asas-asas Islam bagi pelajar Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di seluruh negara.
Menurut JAKIM, surat rayuan daripada pihak sekolah telah diterima pada 15 Oktober 2025 bagi memohon pertimbangan agar murid-murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.
Namun hasil semakan mendapati, murid yang terlibat tidak didaftarkan sebagai calon UPKK Tahun 2025 melalui sistem rasmi pendaftaran calon, iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI).
Susulan itu, JAKIM telah menjalankan semakan silang serta mengadakan perbincangan dengan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai agensi pelaksana KAFA di peringkat negeri.
“Pihak JAIS telah mengesahkan bahawa Sekolah Rendah Islam al-Afsari belum berdaftar di bawah JAIS serta beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Keadaan ini menyebabkan sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Negeri Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988,” tulis kenyataan itu.
Justeru, untuk memperjelaskan situasi sebenar, JAKIM telah mengadakan pertemuan rasmi bersama pihak sekolah pada 3 November 2025.
Dalam pertemuan itu, JAKIM menjelaskan beberapa perkara penting, antaranya:
i) Peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942, bagi menjamin kerahsiaan dan integriti peperiksaan;
ii) Semua calon UPKK Tahun 2025 telah didaftarkan dan diberikan nombor giliran melalui SIMPENI sebelum pelaksanaan ujian lisan;
iii) Ujian Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) telah selesai dilaksanakan antara 7 April hingga 12 September 2025, manakala ujian lisan al-Quran (UPKK01) telah dijalankan antara 22 September hingga 17 Oktober 2025. Markah bagi kedua-dua komponen ini telah dikumpulkan di peringkat daerah oleh Setiausaha Peperiksaan (SuP); dan
iv) Ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November 2025, dan semua kertas peperiksaan telah diedarkan ke seluruh negeri berdasarkan bilangan calon serta pusat peperiksaan yang berdaftar.
Dalam pertemuan tersebut juga, pihak sekolah dimaklumkan bahawa perakuan pendaftaran hanya boleh diberikan sekiranya tiga sokongan agensi berkaitan telah dipenuhi.
Ketetapan ini telah digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) serta tertakluk di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).
“Justeru, pihak sekolah disarankan untuk segera mendapatkan kelulusan daripada ketiga-tiga agensi sokongan berkenaan kerana operasi tanpa pendaftaran sah adalah tidak dibenarkan.
“Pada masa yang sama, JAKIM dan JAIS turut menasihatkan pihak sekolah, agar mempertimbangkan langkah memindahkan murid-murid yang terlibat ke sekolah-sekolah yang berdaftar di bawah pihak berkuasa agama negeri, di samping mengambil langkah mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi tujuan peperiksaan UPKK.
“Pihak sekolah telah diminta agar meneliti semula semua keperluan dan tatacara pendaftaran supaya perkara seumpama ini tidak berulang,” tambah kenyataan itu.
Dalam hal ini, JAKIM menyatakan kesediaannya untuk memberikan panduan dan khidmat nasihat bagi memastikan semua institusi pendidikan Islam swasta dapat beroperasi secara sah serta berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.
JAKIM menegaskan bahawa pelaksanaan peperiksaan UPKK perlu dijalankan dengan tertib, berintegriti dan adil kepada semua calon di seluruh negara.
Oleh itu, semua prosedur serta ketetapan rasmi perlu dipatuhi bagi menjamin kelancaran dan keseragaman pelaksanaan peperiksaan.
Dalam masa sama, JAKIM turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif memastikan sekolah tempat anak-anak menuntut ilmu berdaftar secara rasmi dengan pihak berkuasa agama negeri.
“Pendaftaran rasmi bukan sahaja memastikan kelancaran urusan peperiksaan, tetapi turut menjamin kualiti pendidikan, kebajikan murid, serta pengiktirafan sah terhadap sijil dan keputusan peperiksaan.
“Orang ramai disarankan menyemak kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum dikongsi agar tidak timbul salah faham yang boleh menjejaskan imej institusi agama,” tambah kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, JAKIM menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua agensi agama negeri bagi memastikan setiap anak-anak Islam di Malaysia mendapat pendidikan agama yang berkualiti, tersusun dan diiktiraf, selaras dengan aspirasi Pendidikan Islam MADANI.


BACA: Pelajar Malaysia Menang Pertandingan Seni Dunia Dengan “Wau Bulan”
Sumber: JAKIM