Wanita Pakatan Harapan (PH) mengecam kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang didakwa menyentuh aspek fizikal dan perwatakannya secara terbuka di pentas utama.
Ketua Setiausaha Wanita PH, Mashitah Ismail berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja mencerminkan kelemahan kepimpinan dan kekurangan empati, malah dilihat merendahkan budaya politik negara.
Menurutnya, Islam turut mengangkat martabat wanita serta mengajar umatnya supaya menjaga maruah dan mengelakkan penghinaan atau ejekan terhadap fizikal seseorang.
“Sebagai contoh, perbuatan melabel pemimpin wanita dengan imej nenek-nenek atau menjadikan bentuk tubuh badan sebagai bahan jenaka di khalayak ramai bukan sahaja melanggar etika kemanusiaan, malah bertentangan secara terus dengan perintah Allah SWT yang menuntut kita memelihara kehormatan sesama insan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mashitah turut memetik Surah Al-Hujurat ayat 11 yang antara lain mengingatkan umat Islam supaya tidak mencela atau merendahkan orang lain.
Katanya, sayap wanita merupakan antara jentera terpenting dalam sesebuah organisasi politik dan kepimpinan wanita sewajarnya dinilai berdasarkan kebolehan, integriti serta sumbangan, bukannya aspek fizikal.
“Penilaian terhadap kepimpinan wanita mesti berlandaskan kebolehan, integriti dan sumbangan mereka. Penilaian ini tidak sepatutnya dijadikan subjek komedi bersandarkan ukuran fizikal.
“Tindakan merendahkan wanita berasaskan usia mencerminkan pemikiran yang dangkal, sekali gus menafikan sumbangan dan bakti besar golongan warga emas kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata persidangan politik seharusnya menjadi medan perbahasan dasar yang membina masa depan rakyat dan bukannya ruang untuk diskriminasi atau serangan peribadi.
Ujarnya, insiden sedemikian berpotensi mematahkan semangat serta merencatkan agenda pemerkasaan wanita dalam politik, selain menjejaskan usaha menarik lebih ramai generasi wanita muda menyertai bidang berkenaan.
Sehubungan itu, Wanita PH mendesak semua pemimpin politik merentas parti supaya menghentikan budaya politik yang disifatkannya cetek dan mengutamakan kritikan membina berasaskan fakta.
Mashitah berkata, tiga prinsip perlu diberi perhatian, iaitu mematangkan budaya politik, memelihara maruah wanita serta menunjukkan kepimpinan berakhlak menerusi nilai diplomasi, kesantunan dan rasa hormat.
“Nilai wanita pada akal, akhlak dan jasa: Raikan kepimpinan, hentikan sendaaan fizikal,” katanya.

