
Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun 2025 akan diumumkan pada 25 Februari ini, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Pengarah, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, keputusan peperiksaan berkenaan akan diumum pada jam 10 pagi.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook jabatan berkenaan, pihaknya memaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dijadual menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang bakal berlangsung.
Sementara itu, ibu bapa, penjaga dan calon juga boleh membuat semakan rumusan keputusan mulai jam 12 tengah pada tarikh tersebut.
Semakan boleh dibuat menerusi laman sesawang htps://semakan.islam.gov.my/ dengan menggunakan Nombor MyKid atau Nombor Kad Pengenalan Khas dan Nombor Angka Giliran calon.
“Calon, ibu bapa atau penjaga boleh mendapatkan Slip Keputusan UPKK Tahun 2025 daripada pihak sekolah masing-masing bermula pada 26 Februari 2026 (Khamis) mengikut ketetapan masa yang akan ditentukan oleh pihak sekolah masing-masing,” maklum jabatan tersebut.