Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Negeri Sembilan Jalinkan Kerjasama Dengan Uni Enrol Bagi Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026

KERAJAAN

Kerajaan Negeri Sembilan Jalinkan Kerjasama Dengan Uni Enrol Bagi Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026

Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan kerjasama dengan Uni Enrol sebagai rakan strategik bagi Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026. Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti menerusi bantuan kewangan segera serta bimbingan laluan pendidikan kepada anak-anak Negeri Sembilan. 

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim (mewakili YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan) dan turut dihadiri barisan kepimpinan kanan Uni Enrol, wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan serta universiti-universiti yang terlibat.

YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun berkata:

“Pendidikan merupakan antara pelaburan yang paling bermakna untuk masa depan Negeri Sembilan. Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah memastikan para pelajar mendapat bimbingan dan peluang yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian tinggi dengan yakin. Semoga inisiatif ini dapat memperkasa lebih ramai anak muda untuk merealisasikan cita-cita mereka, serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masa depan negeri.” 

Menerusi kerjasama ini, program berkenaan menyasarkan penawaran kira-kira 29 biasiswa bernilai RM1.3 juta. Walaupun memberi keutamaan kepada pelajar daripada keluarga B40, biasiswa ini terbuka kepada semua pelajar yang layak, baik yang cemerlang dalam akademik dan sukan, mahupun yang berdepan cabaran peribadi. Inisiatif ini berasaskan kepercayaan bahawa bakat wujud di mana-mana, dan setiap individu berhak memperoleh peluang yang sama untuk berjaya.

Menyediakan ‘Pelan B’ yang Penting Buat Lepasan SPM dan STPM 

Program ini dilancarkan bertepatan dengan fasa peralihan penting bagi lepasan sekolah menengah dan prauniversiti, sekali gus menawarkan laluan alternatif yang segera dan berkualiti kepada dua kumpulan pelajar: 

  • Lepasan SPM: Sedang menunggu keputusan rayuan UPU yang diumumkan pada Julai ini.

  • Lepasan STPM: Bersiap sedia menghadapi pengumuman keputusan UPU pada September nanti.

Dengan menyediakan pilihan ‘Pelan B’ yang berkualiti ketika tempoh getir ini, Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan membolehkan bakat tempatan meneruskan pengajian di peringkat diploma, asasi atau ijazah dengan lebih yakin tanpa menjejaskan laluan akademik mereka. 

Program biasiswa ini mendapat sokongan daripada IMU University, Multimedia University, Universiti Tunku Abdul Rahman, Help University, Dasein Academy of Art, Forward College dan First City University College, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan berkualiti merentasi pelbagai bidang pengajian.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol, Rickson Khaw berkata, “Faktor masa amat penting bagi pelajar yang sedang melangkah ke alam universiti. Kerjasama ini membantu merapatkan jurang antara kekangan kewangan dengan akses kepada pendidikan bertaraf dunia, khususnya ketika keluarga amat memerlukan sokongan.

Kami teruja untuk membawa platform Uni Enrol ke Negeri Sembilan dengan kerjasama rasmi kerajaan negeri, sekali gus memastikan ibu bapa, lepasan sekolah, guru dan pengetua mengetahui kewujudan platform ini yang dipercayai serta menawarkan pelbagai peluang biasiswa yang sah.”

Memperkasa Bakat Masa Depan Melangkaui Penawaran Biasiswa 

Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Sembilan dan Uni Enrol terbuka kepada pelajar yang memenuhi syarat berikut: 

  • Menduduki peperiksaan SPM atau STPM di sekolah-sekolah di Negeri Sembilan

  • Lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah 

Dengan sokongan rasmi Kerajaan Negeri Sembilan, inisiatif ini akan memanfaatkan rangkaian pendidikan negeri bagi memastikan maklumat serta saluran permohonan mudah diakses oleh pelajar yang layak di seluruh negeri. Selain bantuan kewangan, penerima biasiswa turut akan menerima khidmat kaunseling pendidikan secara peribadi, padanan institusi pengajian tinggi serta sokongan menyeluruh sepanjang proses permohonan kemasukan melalui rangkaian Uni Enrol di seluruh negara.

Dengan jumlah biasiswa yang disalurkan kepada pelajar di seluruh Malaysia kini menghampiri RM100 juta, Uni Enrol terus memperkukuh peranannya sebagai antara platform pendidikan tinggi terkemuka negara.

Melalui kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan rakan industri, platform ini menghubungkan pelajar dengan peluang biasiswa serta khidmat bimbingan pendidikan yang dipercayai. Untuk maklumat lanjut, sila layari Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026.