Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Percepat Pelaksanaan Baki Syor RCI Tabung Haji - Zulkifli

RCI Tabung Haji
Kredit: Bernama

Kerajaan Percepat Pelaksanaan Baki Syor RCI Tabung Haji - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan baki 25 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), yang masih belum dilaksanakan dengan mengambil kira aspek kebijaksanaan, realiti semasa serta pertimbangan berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kerajaan sentiasa terbuka dan sedia melakukan perubahan, selain melihat syor-syor berkenaan sebagai peluang untuk memperkukuh institusi berkenaan

"Ada banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk memastikan institusi yang kita sayangi ini terus terbang tinggi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI) di sini, hari ini.

Zulkifli berkata sebanyak 75 peratus daripada 25 syor yang dikemukakan oleh RCI telah dilaksanakan, sekali gus meletakkan TH di landasan yang tepat dalam pengurusan deposit dan operasi haji sehingga membolehkan institusi itu menerima Diamond Award bagi pengurusan haji terbaik dunia pada musim haji 1447H/2026M.

Mengulas mengenai syor supaya struktur tadbir urus TH disusun semula, beliau terbuka untuk mempertimbangkan cadangan itu termasuk mengasingkan tanggungjawab pengurusan kewangan, dana dan pelaburan di bawah Menteri Kewangan.

Zulkifli berkata syor mengehadkan bidang kuasa Menteri Hal Ehwal Agama kepada pengurusan haji adalah antara cadangkan dikemukakan dalam Laporan RCI mengenai Lembaga TH yang diterbitkan semalam.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 setebal 211 halaman, yang antara lain mengandungi syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH.

Mengenai penganjuran MMKI, beliau berkata muzakarah itu penting bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara yang menduduki tangga teratas dunia dalam Indeks Ekonomi Islam.

Beliau berkata platform itu menghimpunkan pakar kewangan, ahli akademik dan pengamal industri bagi membincangkan isu semasa serta meneliti cabaran dan perkembangan global untuk menentukan hala tuju sektor kewangan Islam negara.

Zulkifli berkata MMKI yang dipelopori Co-opbank Pertama (CBP) turut berperanan sebagai platform rujukan kepada pemain industri yang mengendalikan perbankan dan kewangan Islam.

"Muzakarah ini akan membincangkan isu-isu semasa dan realiti hari ini termasuk meneliti perkembangan yang berlaku pada peringkat global.

"Pakar-pakar akan mengemukakan input serta pandangan mereka, sekali gus menyediakan maklumat dan data baharu kepada pengamal perbankan serta pemain industri kewangan Islam termasuk CBP untuk membangunkan produk, instrumen dan penyelesaian terbaik kepada masyarakat," katanya.

Intipati
  • Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan baki 25 peratus syor RCI berkaitan Tabung Haji.
  • Zulkifli berkata 75 peratus daripada 25 syor RCI telah dilaksanakan setakat ini.
  • Beliau terbuka mempertimbangkan cadangan pengasingan tanggungjawab kewangan, dana dan pelaburan TH.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan