Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan kelancaran trafik di seluruh negara dengan menumpukan kepada langkah lebih bersasar serta tindakan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan pemain industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) yang dipengerusikannya hari ini.
Katanya, mesyuarat itu turut memberi perhatian terhadap persediaan menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru-Singapura, khususnya aspek penyuraian trafik dan integrasi dengan sistem pengangkutan awam.
“Kita mahu kemudahan baharu ini nanti benar-benar memudahkan pergerakan rakyat dan menyokong mobiliti rentas sempadan yang lebih lancar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pendekatan keselamatan jalan raya juga akan diperkukuh menerusi pelaksanaan langkah yang lebih bersasar.
Jelasnya, Ops Cegah akan dipertingkatkan melalui kerjasama antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak majikan.
“Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO) pula akan dilaksanakan secara berfasa bagi meningkatkan kompetensi serta profesionalisme pemandu kenderaan berat,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan kekal dengan sasaran untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Katanya, sasaran itu memerlukan komitmen bersama semua pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, pemain industri dan masyarakat.
“Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab kita semua,” katanya.
Ahmad Zahid turut berharap keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas, terselaras dan memberikan impak kepada pengguna jalan raya.
“Ukuran kejayaan kita bukan berapa banyak kempen atau operasi yang dilaksanakan, tetapi berapa banyak nyawa yang dapat kita selamatkan,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan