Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Tambah RM150 Juta Percepat Projek Perumahan Generasi Baharu Felda

FELDA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Kerajaan Tambah RM150 Juta Percepat Projek Perumahan Generasi Baharu Felda

Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi mempercepatkan pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), termasuk menyiapkan projek-projek yang sebelum ini mengalami kelewatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap janji yang dibuat diterjemahkan kepada tindakan, khususnya dalam menyediakan kediaman kepada generasi baharu Felda.

“Saya luluskan segera peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan projek Perumahan Generasi Baharu Felda. Hari ini saya tidak mahu umum dasar, saya mahu umum projek yang berjalan, bahawa kerajaan ini melaksanakan janji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, di sini, hari ini, yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook beliau.

Menurut Anwar, projek PGBF yang dimulakan pada 2013 melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,458 unit di 12 tapak atau 29.8 peratus telah siap dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), manakala 2,546 unit di 13 tapak lagi kini masih dalam pembinaan.

Beliau berkata, beberapa projek dijangka siap secara berperingkat sepanjang tahun ini, antaranya di Bersai, Perak melibatkan 102 unit, Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (70 unit).

Menurutnya, projek lain yang akan diteruskan ialah di Sungai Koyan, Pahang (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit), Papan Timur, Johor (539 unit) serta Kerteh, Terengganu yang melibatkan 110 unit.

Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan pengurusan Felda supaya meneliti kelewatan pelaksanaan projek berkenaan dan mengemukakan laporan lengkap dalam tempoh dua bulan bagi mengenal pasti punca serta langkah penyelesaian.

Selain itu, beliau mengumumkan kelulusan serta-merta bagi membolehkan kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina menerima sambungan utiliti asas seperti bekalan elektrik dan air.

Katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua unit terbabit, manakala kerajaan negeri akan menyelaras penyediaan bekalan bekalan air bagi memastikan rumah-rumah tersebut dapat didiami secepat mungkin.