Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji untuk menghapuskan tol, sambil menyifatkan alasan tempoh pentadbiran selama 22 bulan tidak lagi relevan.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata PH kini telah kembali menerajui kerajaan sejak November 2022 apabila Pengerusinya dilantik sebagai Perdana Menteri.
Menurut beliau, tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini telah mencecah kira-kira 44 bulan, namun rakyat masih perlu membayar tol seperti sebelum ini.
“Kalau 22 bulan tidak cukup, tetapi hari ini PH telah menjadi kerajaan dan Pengerusi PH sudah menjadi Perdana Menteri bermula November 2022.
“Kalau dikirakan, hari ini sudah masuk bulan ke-44 menjadi kerajaan dan Perdana Menteri, tapi tol masih ada dan rakyat masih ditipu sehingga hari ini,” katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik yang dikaitkan dengan isu kegagalan PH melaksanakan janji menghapuskan tol.
Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui bila janji tersebut akan ditunaikan memandangkan PH kini mempunyai tempoh pentadbiran yang lebih panjang berbanding ketika mentadbir negara selama 22 bulan sebelum ini.
“Berapa lama lagi rakyat perlu ditipu oleh kamu? 100 tahun? 200 tahun? Moga Bangsa Johor tolak penipu,” ujarnya.