Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kereta Api Ukraine Diserang Dron Rusia, Berlaku Selepas Rombongan Johnson Melalui Laluan Sama

UKRAINE
Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson Kredit: AFP

Sebuah dron Rusia dilaporkan menghentam sebuah kereta api berhampiran sempadan Ukraine-Poland, tidak lama selepas bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson dan beberapa pegawai keselamatan kanan Eropah melalui laluan sama.

Serangan berlaku di Yahodyn, berhampiran sempadan Poland, dengan dron berkenaan mengenai bahagian enjin kereta api. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua penumpang berjaya dipindahkan, menurut pihak berkuasa Ukraine.

Gambar: BBC

Johnson bersama penasihat keselamatan negara Eropah, termasuk Jonathan Powell dari UK, sebelum itu melalui laluan berkenaan menggunakan kereta api berbeza ketika dalam perjalanan pulang dari satu persidangan di Kyiv.

Pengerusi Warsaw Security Forum, Profesor Katarzyna Pisarska berkata kepada BBC bahawa beliau berada dalam gerabak yang sama dengan Johnson dan Powell, manakala serangan berlaku kira-kira 30 minit selepas kereta api mereka memasuki sempadan Poland.

Menurut syarikat kereta api Ukraine, Ukrzaliznytsia, kereta api yang membawa rombongan diplomatik itu berlepas dari stesen lebih awal daripada jadual berikutan perubahan jadual susulan ancaman berterusan serangan Rusia.

Ukrzaliznytsia turut memaklumkan arahan pemindahan kepada penumpang kereta api yang diserang dikeluarkan kira-kira 15 minit sebelum serangan menggunakan dron berkuasa jet Rusia itu.

Rusia Dakwa Sasar Infrastruktur Kereta Api

Kementerian Pertahanan Rusia berkata pihaknya menyerang “infrastruktur kereta api” di barat Ukraine.

Bagaimanapun, Ukrzaliznytsia berkata sasaran dron itu “mungkin merupakan kereta api diplomatik”.

Bekas Ketua CIA, David Petraeus yang berada dalam kereta api lain di Stesen Yahodyn ketika serangan berlaku menyifatkan kejadian itu sebagai “menakutkan”.

Sementara itu, Johnson menerusi hantaran di X mempersoalkan tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menurutnya melakukan serangan terhadap lokomotif Ukraine yang tidak bergerak berhampiran sempadan Poland.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai tindakan “rawak dan tidak masuk akal” yang terpaksa dihadapi rakyat Ukraine setiap hari, termasuk terhadap rangkaian kereta api awam.

Johnson turut menggesa sekutu Ukraine supaya segera menyediakan sistem pertahanan udara yang diperlukan bagi melindungi negara itu daripada serangan berterusan Rusia.

Ukraine Gesa Lebih Banyak Sekatan

Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha menyifatkan serangan di Yahodyn sebagai tindakan “barbarik” dan berkata ia menunjukkan ancaman Rusia semakin menghampiri pintu Kesatuan Eropah (EU) dan NATO.

Beliau sekali lagi menggesa lebih banyak sekatan dikenakan terhadap Moscow.

Di Poland, Perdana Menteri Donald Tusk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkembangan berkenaan dan berkata tindakan Rusia semakin menghampiri sempadan negaranya.

Ketua dasar luar EU, Kaja Kallas pula menuduh Rusia cuba menakutkan negara-negara Barat menerusi serangan tersebut.

Menjawab persoalan mengenai insiden itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata operasi ketenteraan Rusia sedang dijalankan di seluruh wilayah Ukraine dan akan diteruskan.

Serangan Terhadap Infrastruktur Kereta Api Meningkat

Insiden itu berlaku ketika Rusia dilaporkan semakin menyasarkan rangkaian kereta api, depoh, stesen minyak dan lintasan sempadan Ukraine.

Ukraine berkata serangan berterusan sepanjang malam, dengan tentera udaranya memaklumkan 85 daripada 108 dron Rusia yang dilancarkan berjaya ditembak jatuh.

Polis di Chernihiv pula melaporkan tiga orang terbunuh selepas sebuah gudang milik syarikat pertanian di Pryluky diserang pada pagi Isnin.

Sebelum ini, dua orang dilaporkan terbunuh apabila dron Rusia menyerang lintasan sempadan antara Ukraine dan Moldova.

Seorang konduktor wanita turut terbunuh dalam serangan dron Rusia terhadap kereta api penumpang di selatan Ukraine, manakala enam pekerja Ukrzaliznytsia terbunuh selepas sebuah depoh di Kyiv diserang awal bulan ini.

Rangkaian kereta api menjadi pengangkutan utama bagi jutaan rakyat Ukraine selepas semua penerbangan awam digantung sejak bermulanya pencerobohan besar-besaran Rusia pada 2022.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia dan Ukraine turut saling menuduh melakukan serangan terhadap infrastruktur kereta api masing-masing, ketika konflik antara kedua-dua negara terus berlanjutan.

Sumber:BBC
Intipati
  • Dron Rusia dilaporkan menghentam enjin kereta api berhampiran sempadan Ukraine-Poland.
  • Boris Johnson dan pegawai keselamatan Eropah melalui laluan sama kira-kira 30 minit sebelumnya.
  • Ukraine menggesa lebih banyak sekatan ketika serangan terhadap infrastruktur kereta api dilaporkan meningkat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan