Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kes Tikam Banting: CMCF Gesa Henti Tular Kandungan Dedah Identiti Kanak-Kanak

CMCF
Kredit: Bernama

Kes Tikam Banting: CMCF Gesa Henti Tular Kandungan Dedah Identiti Kanak-Kanak

Orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi sebarang kandungan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak bawah umur susulan insiden tikam di sebuah sekolah di Banting, Selangor, kerana perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika, malah menyalahi undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan berbahaya dan sensitif berkaitan kes berkenaan yang didakwa terus tular di media sosial, aplikasi pemesejan dan halaman tidak sahih.

Menurut beliau, media arus perdana telah menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan melaporkan kejadian itu secara berhemah, namun masih terdapat pihak yang menyebarkan bahan yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang dipercayai terbabit.

“Antara kandungan yang dikongsikan ialah bahan yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang didakwa terbabit, selain maklumat peribadi yang sewajarnya tidak didedahkan kepada umum.

“Peruntukan undang-undang adalah jelas iaitu di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang sebarang penerbitan maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang terbabit dalam prosiding jenayah atau mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, perlindungan itu diwujudkan kerana setiap kanak-kanak berhak menikmati privasi, maruah serta peluang menjalani proses pemulihan tanpa dipengaruhi pendedahan identiti kepada umum.

Mediha berkata, seseorang kanak-kanak tidak kehilangan hak perlindungan undang-undang hanya kerana berdepan dakwaan yang serius.

“Dalam kes lebih berat, kita perlu lebih berhati-hati kerana kemarahan awam tidak boleh dibiarkan menjadi hukuman digital yang kekal terhadap mereka.

“Penyebaran kandungan yang mendedahkan identiti kanak-kanak boleh membawa kesan nyata dan berpanjangan.

“Ia mendedahkan kanak-kanak itu, pelajar lain yang terkesan, rakan sekolah serta keluarga mereka kepada aib awam, tekanan psikologi, kemungkinan tindakan balas dan kesan jangka panjang yang mungkin berterusan lama selepas perhatian masyarakat beralih kepada isu lain,” katanya.

Tambah beliau, kandungan yang telah tersebar di internet juga sukar dipadam sepenuhnya, sekali gus meningkatkan risiko kesan buruk terhadap kanak-kanak yang terlibat.

Menurutnya, tanggungjawab melindungi identiti kanak-kanak bukan hanya terletak di bahu organisasi media, malah melibatkan setiap individu yang memilih untuk berkongsi, memanjangkan atau memuat naik semula kandungan tersebut.

Sehubungan itu, Mediha menggesa orang ramai supaya tidak lagi mencari, menyebarkan atau memuat naik semula sebarang kandungan yang boleh mendedahkan identiti atau maklumat peribadi kanak-kanak berkenaan.

“Perasaan ingin tahu bukan alasan kepentingan awam, terutama dalam hal yang membabitkan kanak-kanak.