Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

LLM Jangka Lebih 300,000 Pengundi Luar Pulang Mengundi

PENGUNDI
Kredit: Bernama

LLM Jangka Lebih 300,000 Pengundi Luar Pulang Mengundi

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan lebih 300,000 pengundi luar akan pulang ke Johor bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, sekali gus menyebabkan peningkatan aliran trafik di lebuh raya menuju ke negeri berkenaan.

Pengerusi LLM, Hasni Mohammad berkata, orang ramai yang merancang untuk memasuki atau melalui Johor disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama.

Menurut beliau, bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya berjalan lancar dan selamat, semua kerja penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan pada hari pengundian, kecuali kerja-kerja kecemasan.

“LLM juga menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan melalui aplikasi TuJu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki Touch 'n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.

“Pengguna juga perlu mematuhi had laju dan berhati-hati di kawasan pembinaan lorong ketiga di Lebuhraya Utara-Selatan di antara Simpang Renggam hingga Senai (Utara),” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Dalam pada itu, Hasni turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya sentiasa mematuhi arahan ketika pengaktifan smartlane serta memanfaatkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah untuk berehat sekiranya memandu dalam tempoh yang panjang.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dan menyemak sebarang insiden di lebuh raya menerusi Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, akaun TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Selain itu, orang ramai juga boleh melihat keadaan trafik secara langsung menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya melalui laman sesawang rasmi LLM serta Saluran WhatsApp LLM Info Trafik.