Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

'Apabila Guru Takut Menegur, Murid Hilang Bimbingan' - Dr Zulkifli

ZULKIFLI
Kredit: Bernama

'Apabila Guru Takut Menegur, Murid Hilang Bimbingan' - Dr Zulkifli

Peranan guru yang semakin terbatas untuk mendidik dan menegur pelajar dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes buli di institusi pendidikan, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, guru perlu dikembalikan kepada kedudukan dan peranan sebenar sebagai pendidik agar mereka dapat membimbing, menasihati serta membentuk sahsiah pelajar dengan lebih berkesan.

“Guru wajib dihormati, namun pada masa yang sama perlu dipandu oleh agama, akhlak, undang-undang dan kebijaksanaan serta sentiasa terbuka untuk menerima teguran.

“Apabila guru hilang kewibawaan, sekolah kehilangan tiangnya. Apabila guru takut menegur, murid kehilangan bimbingan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu buli menerusi siri Mauqif bertajuk 'Isu Buli: Saatnya Kita Kembalikan Roh Pendidikan'.

Menurut Zulkifli, gejala buli yang semakin membimbangkan bukan sahaja meninggalkan trauma dan menghakis keyakinan diri mangsa, malah dalam beberapa kes turut mengakibatkan kehilangan nyawa.

Katanya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat pembuli yang menganggap perbuatan mereka sekadar gurauan, sedangkan dalam Islam setiap bentuk ejekan, penghinaan dan perbuatan yang menyakiti orang lain disifatkan sebagai satu kezaliman.

Bagi memperkukuhkan pandangannya, beliau turut berkongsi kisah ulama tersohor, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi yang pernah menceritakan pengalaman ketika kecil dihantar bapanya ke halaqah al-Quran untuk menghafaz al-Quran.

Menurut beliau, al-Sya'rawi pernah berkongsi bahawa hanya dengan melihat rotan yang tergantung di hadapan kelas sudah cukup menimbulkan rasa gerun sehingga mendorongnya belajar bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat atau malas.

Zulkifli berkata, kisah itu bukan bertujuan mengangkat hukuman fizikal, sebaliknya menggambarkan bagaimana kewibawaan guru dan suasana pendidikan yang berdisiplin mampu membentuk rasa hormat serta kesungguhan dalam diri pelajar.

Sehubungan itu, beliau berharap perkongsian berkenaan dapat menjadi cetusan fikiran kepada semua pihak dalam memperkukuh usaha menangani gejala buli secara lebih menyeluruh, bersepadu serta berteraskan adab, nilai dan roh pendidikan.