Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ketua Audit Negara Terima Pengiktirafan Tertinggi Dunia Antifraud: Donald R. Cressey Award 2026

Ketua Audit Negara
Gambar: Jabatan Audit Negara

Ketua Audit Negara Terima Pengiktirafan Tertinggi Dunia Antifraud: Donald R. Cressey Award 2026

Malaysia mencipta sejarah apabila Ketua Audit Negara, Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi diumumkan sebagai penerima Donald R. Cressey Award 2026, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam bidang anti-fraud yang dianugerahkan oleh Association of Certified Fraud Examiners (ACFE), organisasi profesional anti-fraud terbesar di dunia.

Jabatan Audit Negara (JAN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengiktirafan antarabangsa yang diperkenalkan sejak 1989 itu merupakan pencapaian pertama Malaysia, sekali gus menjadikan Wan Suraya sebagai penerima pertama dari rantau ASEAN dan kedua dari Asia menerima anugerah berprestij tersebut.

Beliau turut mencipta sejarah sebagai Ketua Audit Negara pertama di dunia yang menerima Donald R. Cressey Award sejak anugerah itu diperkenalkan 37 tahun lalu.

Anugerah berkenaan disampaikan sempena Persidangan Global Fraud ACFE Ke-37 di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat, yang menghimpunkan lebih 5,000 profesional anti-fraud dari sektor awam dan swasta di seluruh dunia.

Pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia

Menurut JAN, pengiktirafan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Malah, mencerminkan keyakinan masyarakat global terhadap komitmen negara dalam memperkukuh tadbir urus, integriti, ketelusan dan akauntabiliti sektor awam menerusi pelaksanaan audit yang bebas, berwibawa serta berimpak.

Presiden ACFE, John Gill berkata Wan Suraya melambangkan standard kecemerlangan dan integriti yang menjadi asas kepada Donald R. Cressey Award.

Beliau menyifatkan Ketua Audit Negara Malaysia itu sebagai contoh kepimpinan yang membawa inovasi dan integriti bukan sahaja di rantau Asia Pasifik, malah di peringkat antarabangsa.

"Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi mencerminkan standard kecemerlangan dan integriti yang tinggi, selaras dengan nilai yang dibawa oleh Anugerah Cressey.

"Beliau menjadi contoh kepimpinan dalam inovasi dan integriti di rantau Asia Pasifik serta di peringkat antarabangsa.

"ACFE berbesar hati mengiktiraf impak yang telah beliau hasilkan, di samping menonjolkan pendekatan inovatif beliau dalam audit dan pengurusan risiko penipuan yang berjaya meningkatkan ketelusan serta kepercayaan terhadap sektor awam di Malaysia dan rantau ini," katanya.

Reformasi audit raih pengiktirafan dunia

JAN memaklumkan, kejayaan tersebut turut didorong pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara inisiatif utama termasuk pindaan Akta Audit 1957 pada 2024, pengukuhan pendekatan audit berasaskan data menerusi Pendigitalan Perkhidmatan JAN (PPJ), penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya, selain pembangunan Papan Pemuka Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard - AGD) bagi memantau tindakan susulan audit secara masa nyata.

Menurut JAN, reformasi itu telah mengubah fungsi audit daripada hanya mengenal pasti kelemahan kepada memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan secara berkesan.

Langkah tersebut sekali gus memperkukuh tadbir urus, melindungi wang awam dan meningkatkan tahap akauntabiliti secara berterusan.

Jelas JAN, penerimaan Donald R. Cressey Award 2026 membuktikan pembaharuan yang diterajui Malaysia kini menjadi rujukan serta mendapat pengiktirafan daripada komuniti anti-fraud antarabangsa.