Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Khabar Angin Ronaldo Kembali Bersama Manchester United
Spekulasi mengenai masa depan Cristiano Ronaldo kembali menjadi tumpuan selepas bintang Portugal itu dilaporkan bertindak mogok dan enggan beraksi bersama Al-Nassr dalam kemenangan 1-0 ke atas Al-Riyadh, baru-baru ini.
Insiden itu berlaku selepas Ronaldo dikatakan berang dengan perpindahan Karim Benzema ke Al-Hilal, pesaing utama Al-Nassr dalam Liga Pro Saudi.
Benzema, bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, menyertai Al-Hilal secara perpindahan percuma selepas kontraknya bersama Al-Ittihad ditamatkan.
Ronaldo dilaporkan tidak berpuas hati kerana perpindahan itu dianggap memberi kelebihan besar kepada Al-Hilal dalam perebutan kejuaraan liga, meskipun ketiga-tiga kelab terbabit dimiliki oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF).
Situasi ini mencetuskan spekulasi bahawa Ronaldo mungkin tidak akan menghabiskan baki kontraknya selama 18 bulan bersama Al-Nassr, yang bernilai sekitar £488,000 sehari. Ia sekali gus membuka kemungkinan kembali ke Manchester United untuk kali ketiga, lapor Daily Mirror.
Namun, bekas rakan sepasukan Ronaldo di Manchester United, Wes Brown, menolak kemungkinan tersebut.
"Saya tidak nampak bagaimana dia boleh kembali ke Manchester United. Saya rasa itu tidak akan berlaku," kata Brown kepada BettingLounge.
Menurut Brown, Ronaldo masih mempunyai banyak pilihan lain, termasuk berpindah ke Liga Major Amerika Syarikat (MLS) atau kembali beraksi di Portugal.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama Ronaldo adalah untuk terus bermain bagi memastikan dirinya cergas menghadapi Piala Dunia akan datang.
Setakat ini, Ronaldo, pemain Al-Nassr dan barisan kejurulatihan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu tersebut.
Sidang media selepas perlawanan turut dibatalkan dan pemain diminta tidak bercakap kepada media.
Al-Nassr dijadualkan menentang Al-Ittihad pada Jumaat ini, namun penglibatan Ronaldo masih menjadi tanda tanya.
Dalam masa sama, pendahulu liga Al-Hilal akan bertemu Al-Akhdoud, dan kegagalan mereka meraih kemenangan boleh memberi peluang kepada Al-Nassr untuk merampas kedudukan teratas liga.
Untuk rekod, Al-Nassr kali terakhir menjuarai liga pada tahun 2019, sebelum ketibaan Ronaldo dari Manchester United pada 2022.