Usahawan dan personaliti media sosial, Khairul Aming mencipta rekod baharu apabila menjadi usahawan pertama di Malaysia yang berjaya meraih jualan melebihi AS$1 juta (RM4.4 juta) menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok Shop.
Raih Jualan 'Live Stream' RM4.4 Juta
Menerusi perkongsian di Threads, Khairul Aming meluahkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian tersebut, selain berterima kasih kepada orang ramai yang terus memberikan sokongan kepada perniagaan tempatan.
“Alhamdulillah, semalam kita berjaya pecahkan rekod baharu. Livestream TikTok Shop pertama di Malaysia yang cecah jualan melebihi AS$1 juta (RM4.4 juta).
“Saya terhutang budi dengan anda semua. Terima kasih sebab beri kepercayaan kepada anak-anak tempatan kita sejak dari dulu lagi.
“Team KA di Kelantan dah mulakan ship out parcel hari ini. Insya-Allah, kita akan cuba settlekan parcel secepat mungkin.
“Mohon maaf kalau ada apa-apa kekurangan dalam livestream KA dan team semalam. Terima kasih guys,” katanya.
Pada masa yang sama, rata-rata netizen turut meluahkan rasa bangga dengan kejayaan tersebut yang disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan buat usahawan tempatan.
Ia juga menjadi bukti bahawa produk tempatan bukan sahaja kekal relevan, malah mampu meraih sambutan luar biasa dalam kalangan pengguna.
“Terus cipta sejarah, KA. Rezeki tak pernah salah alamat. You deserve it,” komen seorang netizen.
“Teruskan 'Mendonia', anak Melayu! Jangan toleh belakang. Meluah bukan erti kalah, tapi lumrah sebab kita manusia. Terima kasih sebab banyak bantu anak-anak Melayu dan peniaga-peniaga lain,” tulis seorang lagi.
“Subhanallah, tahniah! Teruskan menjadi inspirasi untuk anak muda kita,” komen seorang netizen.

