Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Konflik Timur Tengah: Kos Dijangka Naik 25 Peratus Menjelang September-Oktober
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini memberi amaran bahawa kos dijangka meningkat antara 15 hingga 25 peratus menjelang September atau Oktober tahun ini susulan konflik berterusan di Timur Tengah.
Difahamkan, kenaikan tersebut dijangka memberi kesan kepada pelbagai sektor, termasuk sektor kesihatan yang dianggap kritikal.
Beliau turut menjelaskan impak penuh daripada konflik tersebut masih belum dirasai secara menyeluruh, meskipun terdapat kenaikan terkini harga petrol dan diesel serta gangguan dalam rantaian bekalan.
Tambah Amirudin lagi, unjuran tersebut adalah berdasarkan dapatan sebuah bank antarabangsa yang menjangkakan peningkatan kos merentasi semua sektor ekonomi.
“Itulah sebabnya kerajaan negeri memantau perkembangan dengan teliti. Titik 'panas' sebenar belum tiba, ia mungkin datang sekitar September atau Oktober,” katanya.
Bernama melaporkan Kerajaan Negeri Selangor akan mempelbagaikan usaha bagi memastikan kesan krisis tenaga global dapat ditangani secara berkesan demi kesejahteraan rakyat seiring dengan perkembangan semasa.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata untuk itu kerajaan negeri akan menumpukan beberapa aspek ekonomi dan sosial, khususnya bagi membantu rakyat serta industri menghadapi krisis tenaga global dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun akan datang.
Amirudin berkata aspek pertama adalah untuk menangani kesan-kesan peningkatan harga barang, kos sara hidup seterusnya membantu serta menyerap tekanan kepada kumpulan rentan.
“Aspek kedua ialah (membantu) mempertahankan industri dan kegiatan ekonomi yang mungkin terkesan secara langsung dan tidak langsung akibat daripada krisis itu.
“Yang ketiga, meneroka peluang-peluang baru supaya kerajaan negeri mempunyai daya tahan pada masa hadapan. Ini agar apabila berlaku semula krisis seperti ini kita mampu untuk menyerap kesannya seperti dengan penerokaan tenaga baharu atau penggunaan kenderaan awam,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang ingin tahu kesan peperangan di Asia Barat kepada Selangor khususnya dari segi pembelanjaan dan projek-projek kerajaan serta kelangsungan makanan.
Bagi aspek keempat, Amirudin berkata kerajaan negeri akan meningkatkan komunikasi dengan masyarakat supaya mereka faham krisis tenaga ini akan memberikan kesan pendek dan panjang kepada negeri, khususnya dari segi kutipan hasil.
“(Kita jangka) berlaku pengurangan lebih kurang hampir RM100 juta hasil negeri yang dicatatkan tahun ini daripada tempoh yang sama pada tahun 2025.
“Kerajaan negeri akan meneliti dengan terperinci perkembangan ini supaya kita dapat melihat kembali apakah hasil dan keupayaan negeri mampu dioptimumkan sehingga kita mampu mencapai sasaran (unjuran hasil negeri) RM2.8 bilion seperti dibentangkan dalam belanjawan,” katanya.
Beliau berkata impak krisis tenaga global yang berlaku ketika ini belum mencapai tahap kritikal atau titik panas yang sebenar.
“Kita belum lagi sebenarnya sampai ke tahap kritikal atau tahap titik panas yang sebenarnya kerana contohnya harga bahan bakar yang kita gunakan sekarang adalah kesan daripada (situasi) empat atau lima bulan lepas. Kita jangka kesan sebenar pada September ini," katanya.