Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Korea Utara Lepaskan Projektil Tidak Dikenal Pasti

Korea Utara Lepaskan Projektil
Kredit: Yonhap News

Korea Utara Lepaskan Projektil Tidak Dikenal Pasti

Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Sabtu memaklumkan bahawa Korea Utara telah melepaskan sekurang-kurangnya satu 'projektil tidak dikenal pasti' ke arah timur.

Namun butiran lanjut mengenai perkara terbabit tidak didedahkan.

Memetik laporan AFP, ia berlaku beberapa minggu selepas Pyongyang menolak usaha terbaru Seoul untuk berdamai dengan menyifatkannya sebagai helah mengelirukan.

Pelancaran ujian peluru berpandu hipersonik oleh subunit di bawah kumpulan serangan tembakan utama Tentera Rakyat Korea di Pyongyang pada 4 Januari 2026. Kredit: Yonhap News

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok berkata bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berpendapat pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un adalah sesuatu yang baik.

Washington selama beberapa dekad mengetuai usaha untuk melucutkan program nuklear Korea Utara, namun sidang kemuncak, sekatan dan tekanan diplomatik setakat ini memberi sedikit kesan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pentadbiran Trump berusaha untuk menghidupkan semula rundingan peringkat tinggi dengan Pyongyang, termasuk kemungkinan mengadakan sidang kemuncak dengan Kim Jong Un tahun ini, semasa lawatan Trump ke Beijing pada April.

Trump sebelum ini berkata semasa lawatan ke Asia pada Oktober bahawa beliau 100 peratus terbuka untuk bertemu Kim Jong Un, namun kenyataan itu tidak menerima sebarang maklum balas daripada Korea Utara.

Selepas beberapa bulan mengabaikan usaha tersebut, Kim Jong Un baru-baru ini berkata kedua-dua negara boleh berbaik-baik sekiranya Washington menerima status nuklear Pyongyang.