Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kulat Rumah Cepat Membiak? Ini 10 Sebabnya
Rumah cantik, kemas dan tersusun memang menjadi impian setiap orang. Namun, walaupun rumah kelihatan sempurna, masalah kulat tetap muncul tanpa disedari. Kulat bukan sahaja menjejaskan estetika rumah tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan penghuni. Terutama bagi mereka yang sensitif terhadap alahan atau mempunyai masalah pernafasan.
Keadaan ini sering membuatkan ramai tertanya-tanya, mengapa kulat begitu mudah menumpang di rumah yang sudah dijaga rapi. Kali ini kami akan kongsikan 10 punca tersembunyi yang menyebabkan kulat cepat membiak di rumah walaupun rumah kelihatan bersih dan terurus.
Dari tabiat harian hingga kawasan rumah yang sering diabaikan, setiap faktor ini boleh memberi peluang kepada kulat untuk berkembang. Dengan mengetahui punca sebenar, anda bukan sahaja dapat mencegah kulat daripada menyerang rumah malah dapat mengekalkan rumah yang selesa, sihat dan bebas masalah kelembapan.
Selepas mandi air panas, bilik mandi biasanya dipenuhi wap dan kelembapan tinggi. Menutup pintu bilik mandi ketika keadaan masih lembap akan memerangkap kelembapan tersebut. Keadaan ini akan menjadikannya tempat sempurna untuk kulat berkembang.
Kulat cenderung tumbuh subur apabila kelembapan melebihi 60%. Cara mudah untuk mengurangkan risiko ini adalah dengan meninggalkan pintu terbuka selepas mandi agar wap tersebar dan kelembapan berkurangan.
Selain itu, menggunakan alat penyapu air (squeegee) untuk mengelap dinding dan lantai bilik mandi selepas mandi boleh membantu mengurangkan kelembapan yang tersisa.
Kipas ekzos direka untuk mengeluarkan kelembapan dari udara tetapi ramai yang mematikannya terlalu cepat selepas mandi. Untuk memastikan kelembapan benar-benar berkurangan, disarankan menghidupkan kipas ekzos selama 20 hingga 30 minit selepas mandi.
Ini membantu mengekalkan kelembapan di bawah 50%. Seterusnya mengurangkan peluang kulat tumbuh. Pastikan juga kipas ekzos sentiasa dibersihkan dan berfungsi dengan baik agar keberkesanannya maksimum.
Tanaman hiasan dalam rumah memang menyegarkan suasana tetapi menyiramnya secara berlebihan boleh meningkatkan kelembapan udara secara tidak langsung.
Air yang berlebihan dalam tanah boleh menguap, menambah lembapan dalam bilik sekali gus menyediakan persekitaran ideal untuk kulat. Amalkan menyiram tanaman mengikut keperluan sebenar dan biarkan tanah kering sedikit antara sesi penyiraman.
Menggunakan alat pengukur kelembapan tanah juga membantu mengelakkan tanaman terlalu basah dan mengurangkan risiko kulat.
Pakaian yang dibiarkan dalam mesin basuh dalam keadaan lembap boleh menjadi sumber kulat baik pada pakaian itu sendiri mahupun di dalam mesin. Kulat boleh mula tumbuh hanya dalam 24 hingga 48 jam apabila keadaan lembap wujud.
Untuk mengelakkannya, segera pindahkan pakaian ke pengering atau gantung untuk dikeringkan selepas basuhan. Jangan lupa membersihkan mesin basuh secara berkala terutama bahagian getah dan seal dengan cara menjalankan kitaran kosong menggunakan air panas dan cuka bagi memastikan mesin bebas kulat.
Antara lain, paip atau kepala paip yang bocor adalah punca kelembapan tersembunyi yang sering diabaikan. Walaupun kebocoran kecil, ia mampu mencipta persekitaran lembap yang sesuai untuk kulat membiak. Semak dan baiki paip yang bocor secepat mungkin.
Untuk lebih berhati-hati, pasangkan penggera air di kawasan berisiko seperti bawah sinki atau berhampiran pemanas air supaya kebocoran dapat dikesan sebelum menjadi masalah besar.
Rumah yang kurang pengudaraan membolehkan kelembapan berkumpul dengan cepat terutamanya di kawasan yang sering basah atau lembap seperti bilik mandi, dapur atau ruang cucian. Tanpa aliran udara yang baik, spora kulat mudah berkembang biak dan menjejaskan keselesaan rumah.
Untuk mengurangkan risiko ini, pastikan rumah mempunyai pengudaraan yang mencukupi seperti membuka tingkap, menggunakan kipas atau dehumidifier bagi mengekalkan tahap kelembapan di bawah 50%.
Sentiasa periksa tanda-tanda kulat seperti bau hapak atau perubahan warna pada dinding dan bertindak segera jika ada sebarang kehadiran kulat.
Selain itu, karpet di kawasan lembap seperti stor atau bilik mandi boleh menyerap air dan menjadi tempat kulat berkembang. Sekiranya karpet basah, keringkan segera untuk mengelakkan kulat.
Di kawasan yang mudah lembap, pertimbangkan menggunakan lantai jubin atau vinil yang lebih tahan terhadap kelembapan.
Jika penggunaan karpet tidak dapat dielakkan, pilih karpet dengan lapisan kalis lembap dan bersihkan secara berkala agar spora kulat tidak menetap.
Ramai suka menyimpan kotak, kain atau barang lama di sudut rumah atau stor. Tetapi jika kawasan tersebut lembap, ia boleh menjadi tempat subur untuk kulat berkembang. Barang seperti kadbod, kain atau bahan organik mudah rosak dan berkulat apabila dibiarkan dalam keadaan basah atau kurang pengudaraan.
Untuk mengelakkan masalah ini, simpan barang dalam bekas plastik yang bertutup rapat dan letakkan penyerap kelembapan atau desiccant bagi mengekalkan keadaan kering.
Selain itu, pastikan kawasan penyimpanan mendapat pengudaraan yang baik agar kelembapan tidak terkumpul dan kulat tidak berpeluang membiak.
Drip pan atau dulang penadah air di peti sejuk boleh menjadi tempat pembiakan kulat jika jarang dibersihkan. Air yang bertakung di dulang ini menyediakan persekitaran sempurna untuk kulat membiak yang kemudian boleh merebak ke bahagian lain dalam dapur.
Pastikan dulang sentiasa dikeringkan dan dibersihkan setiap beberapa bulan. Selain itu, periksa juga gasket pintu dan bahagian dalam peti sejuk bagi memastikan tiada tanda kulat yang mula muncul.
Di samping itu juga, tumpahan air atau noda pada karpet, perabot atau permukaan lain boleh menjadi medium untuk pertumbuhan kulat jika tidak dibersihkan dengan segera. Kulat boleh mula tumbuh dalam masa 24 hingga 48 jam pada permukaan lembap.
Segera bersihkan tumpahan dan pastikan permukaan dikeringkan sepenuhnya. Untuk noda degil, gunakan pembersih karpet khusus atau khidmat profesional untuk memastikan kelembapan hilang sepenuhnya dan kulat tidak berpeluang membiak.
Kesimpulannya, kulat bukan sahaja menjadikan rumah nampak kotor malah boleh memberi kesan kesihatan serius. Dengan memahami tabiat harian yang mempercepatkan pertumbuhan kulat kita dapat mengenal pasti punca sebenar masalah ini.
Dengan pengetahuan tersebut, kita boleh mengambil langkah pencegahan yang lebih berkesan untuk memastikan rumah sentiasa selesa dan bebas kulat. Kebersihan, pengudaraan yang baik serta kawalan kelembapan adalah kunci untuk memastikan rumah sentiasa selesa, sihat dan bebas kulat.