Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kuota Diesel Bersubsidi Disemak Semula Bagi Agihan Lebih Tepat - Armizan

Kuota Diesel Bersubsidi Disemak Semula
Kredit: Bernama

Kuota Diesel Bersubsidi Disemak Semula Bagi Agihan Lebih Tepat - Armizan

PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan menyemak semula kadar kuota tetap diesel bersubsidi bagi beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan agihan subsidi lebih tepat dan selaras dengan keperluan operasi sebenar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Kabinet semalam, yang membincangkan status kemajuan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api melalui mekanisme BUDI Diesel, BUDI95, SKDS dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan penambahbaikan dilaksanakan terhadap beberapa aspek untuk memastikan maklum balas rakyat disantuni melalui strategi dan pendekatan yang mengambil kira faktor kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan, serta kedudukan dan ruang fiskal negara,” katanya pada sidang media selepas sesi turun padang sempena pelaksanaan akses awal BUDI Diesel di sini hari ini.

Armizan berkata di bawah penambahbaikan yang dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Ogos ini, pelarasan kuota diesel di bawah SKDS tidak lagi hanya berdasarkan purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, sebaliknya turut mengambil kira beberapa faktor teknikal.

Antara faktor yang akan dinilai ialah Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api serta pola operasi setiap kenderaan.

“Ada kenderaan pengangkutan yang jenisnya sama tetapi BDM berbeza. Jadi, kalau sebelum ini jenis pengangkutan itu ada satu kuota tetap yang seragam, sedangkan dari segi penggunaan kita tahu kenderaan dengan BDM yang lebih besar dari segi berat dan saiz muatan, sudah pasti penggunaan bahan apinya lebih banyak.

“Jadi, semalam Kabinet telah membuat keputusan supaya kami melakukan pelarasan kuota tetap bukan hanya melihat kepada purata penggunaan sebelum ini. Kami ada rekod penggunaan tetapi kami turut melihat kepada faktor teknikal lain supaya kuota itu lebih bertepatan dengan tanggungan kos operasi syarikat yang terlibat dengan pengangkutan barangan keperluan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah diarahkan untuk mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan dasar Jemaah Menteri dengan mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian, termasuk keperluan pengubahsuaian dan pengintegrasian kepada sistem sedia ada.

“Insya-Allah KPDN, MOT dan MOF akan bekerjasama rapat supaya keputusan dasar yang telah dibuat oleh Jemaah Menteri semalam dapat dilaksanakan segera agar rakyat mendapat manfaat daripada agenda penyasaran subsidi bahan api,” katanya.

Selain itu, Armizan berkata Jemaah Menteri juga bersetuju untuk meluaskan penyaluran subsidi diesel kepada peniaga kecil yang mempunyai kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan atau syarikat di bawah kelas atau kod kegunaan perniagaan persendirian.

Beliau berkata sebelum ini, syarat kelayakan subsidi diesel adalah terhad kepada kenderaan didaftarkan atas nama individu bagi BUDI Diesel dan kenderaan perniagaan atau syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas atau kod kegunaan pengangkutan barangan pengguna bagi SKDS.

“Kabinet juga membuat keputusan supaya dasar ini diperluaskan kerana melihat mereka ini adalah perniagaan-perniagaan kecil yang perlu disantuni,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata pemilik kenderaan diesel persendirian jenis jip dan pikap yang layak di bawah BUDI Diesel dan ingin memohon tambahan kuota 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 300 liter berbanding kuota asas 200 liter boleh membuat permohonan secara dalam talian atau mengisi borang fizikal.

“Masih ada yang menganggap bahawa kuota untuk BUDI diesel hanya 200 liter, sebenarnya tidak tepat. Kuota asas adalah 200 liter untuk semua yang mempunyai kenderaan diesel didaftarkan atas nama individu tetapi mereka yang ada kenderaan diesel jenis jip dan pikap boleh memohon tambahan 100 liter lagi.

Jadi, sebenarnya adalah 300 liter. “Sebenarnya cara memohon mudah, ada dalam portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my. Siapa yang mahu mohon secara fizikal, boleh ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat, di sana ada pegawai LHDN yang akan membantu,” katanya, sambil menambah pejabat LHDN di Sabah dan Sarawak akan dibuka esok bagi tujuan permohonan kuota tambahan BUDI Diesel.

Armizan ketika mengulas mengenai hasil sesi turun padang di sebuah stesen minyak di sini susulan pelaksanaan akses awal BUDI Diesel bagi kenderaan persendirian di Semenanjung berkata beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan stesen terlibat.

Sepanjang tempoh akses awal itu, pengguna layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

“Tinjauan meliputi tahap persiapan pelaksanaan di peringkat runcit stesen minyak, termasuk kestabilan sistem transaksi, proses pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, latihan kepada petugas serta aspek perkhidmatan mesra pelanggan bagi memastikan kelancaran mekanisme sebaik berkuat kuasa kelak,” katanya.

Beliau berkata hasil kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri, 10 syarikat minyak, iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, Petros dan IPTB telah mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing bagi pelaksanaan BUDI Diesel.

Sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara telah bersedia untuk pelaksanaan penuh BUDI Diesel sebagai satu daripada mekanisme penyasaran subsidi bahan api.

Melalui BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di stesen-stesen minyak sama ada melalui pengesahan MyKad atau aplikasi digital syarikat.