Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KWSP Umum Dividen Konvensional & Shariah Sebanyak 6.15 Peratus

KWSP Umum Dividen
Kredit: Bernama

KWSP Umum Dividen Konvensional & Shariah Sebanyak 6.15 Peratus

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.

Menerusi satu kenyataan, KWSP berkata jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak RM67.1 bilion, manakala Simpanan Shariah sebanyak RM12.5 bilion.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2025 sebanyak RM79.6 bilion," katanya.

Menurutnya lagi, ahli boleh menyemak penyata dividen melalui i-Akaun sama ada di laman web atau aplikasi bermula 28 Februari.

"Untuk maklumat lanjut mengenai Prestasi Pelaburan dan Dividen KWSP 2025, sila layari laman web rasmi KWSP," tambahnya lagi.

KWSP juga berkata pihaknya mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2025.

Ia meningkat 9.5% berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.

"Aset pelaburan meningkat kepada RM1,409 bilion, naik 12.8% daripada RM1,250 bilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion," katanya.

Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pihaknya berbesar hati kerana KWSP telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2025 walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan yang sukar diramal.

"Pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh.

"Pencapaian ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami dalam melindungi simpanan ahli bagi memastikan pulangan yang mampan," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa walaupun berdepan tekanan tarif dan perkembangan geopolitik, ekonomi global kekal kukuh pada tahun 2025.

Inflasi yang semakin terkawal membolehkan bank-bank pusat utama melonggarkan dasar monetari, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelabur jangka panjang.

Manakala, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan eksport yang berdaya tahan.

“Portfolio pelaburan kami yang pelbagai merangkumi kelas aset dan pasaran, dipandu oleh Alokasi Aset Strategik, membolehkan kami menghadapi turun naik pasaran yang memuncak pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat.

"Walaupun kitaran pasaran boleh membawa ketidaktentuan jangka pendek, pengurusan risiko yang berdisiplin dengan strategi pelaburan jangka panjang terus menjadi teras dalam mengekalkan daya tahan dan menjana pulangan yang konsisten untuk ahli,” kata Tan Sri Mohd Zuki.

Sumber:KWSP