Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh manakala 91 lagi cedera selepas ibu negara Ukraine, Kyiv digempur serangan besar-besaran dron dan peluru berpandu oleh Rusia semalaman, lapor BBC.
Menurut Ketua Pentadbiran Tentera Kyiv, Timur Tkachenko, angka korban itu disahkan selepas beberapa kawasan perumahan dan kemudahan awam terkena impak serangan.
Datuk Bandar Kyiv, Vitaly Klitschko berkata, serangan kali ini disifatkan sebagai antara yang paling besar pernah dilancarkan ke atas ibu negara itu dari segi jumlah senjata digunakan.
Katanya, sebuah stesen ambulans turut menjadi antara lokasi yang terkena serangan.
Serangan tersebut memaksa beberapa kawasan kejiranan dipindahkan, hanya beberapa jam selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memberi amaran bahawa Rusia sedang merancang satu serangan baharu.
Menurut laporan, antara kawasan paling teruk terjejas ialah sebuah blok apartmen sembilan tingkat di daerah Darnitskyi, tenggara Kyiv, apabila dua peluru berpandu menghentam kawasan berkenaan.
Satu daripadanya meninggalkan kawah besar berhampiran sebuah tadika, manakala satu lagi menyebabkan sebahagian bangunan pangsapuri runtuh sepenuhnya.
Pasukan penyelamat dilaporkan masih giat mengorek runtuhan kerana dipercayai masih terdapat mangsa terperangkap.
Dalam pada itu, pihak metro Kyiv memaklumkan seramai 52,500 penduduk, termasuk 4,500 kanak-kanak, berlindung di stesen bawah tanah sepanjang malam, jumlah tertinggi direkodkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Tentera Udara Ukraine, Rusia melancarkan 74 peluru berpandu dan 496 dron dalam tempoh serangan lebih 11 jam itu, dengan kebanyakannya menyasarkan Kyiv.
Bagaimanapun, pihak pertahanan udara Ukraine berkata mereka berjaya memintas sebahagian besar serangan tersebut, namun 25 peluru berpandu balistik dan 12 dron tetap berjaya mengenai 33 lokasi.
Sementara itu, Kremlin mendakwa serangan itu menyasarkan fasiliti ketenteraan dan tenaga Ukraine sebagai tindak balas terhadap serangan Kyiv ke atas infrastruktur awam Rusia.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Moscow akan terus meningkatkan tekanan ke atas rejim Kyiv bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
Namun, Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiha menegaskan tindakan Rusia tidak boleh disamakan dengan usaha Ukraine mempertahankan negaranya.
“Dalam perang ini, ada penceroboh dan ada negara yang mempertahankan diri,” katanya.