Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Laluan Minyak Paling Kritikal Dunia, Selat Melaka Di Kedudukan Teratas
Setiap hari, berpuluh juta tong minyak mentah dan produk petroleum dihantar melalui laluan laut utama dunia. Laluan-laluan ini memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan tenaga global kekal stabil dan berterusan.
Antara laluan paling strategik termasuk Selat Hormuz, Terusan Suez, Bab el-Mandeb dan Cape of Good Hope yang menjadi tumpuan kapal tangki dari pelbagai negara. Gangguan di mana-mana laluan ini boleh memberi kesan besar terhadap harga minyak dan rantaian bekalan global.
Namun, tahukah anda? Selat yang begitu dekat dengan kita iaitu Selat Melaka juga menjadi laluan utama dan penting.
Menurut data rasmi U.S. Energy Information Administration (EIA), sebanyak 23.7 juta tong minyak sehari dihantar melalui Selat Melaka.
Jumlah itu adalah yang tertinggi berbanding semua laluan chokepoint minyak utama lain di dunia. Laluan ini kekal berada di kedudukan pertama sejak tahun 2018 dengan jumlah 23.0 juta tong.
Pada tahun 2019, Selat Melaka mencatatkan 23.1 juta tong dengan sedikit penurunan kepada 22.8 juta pada 2020. Penurunan berterusan pada 2021 kepada 21.9 juta tong sebelum meningkat semula bagi dua tahun berturut-turut.
Tahun 2022 mencatat 22.9 juta tong, meningkat lagi pada 2023 kepada 23.7 juta tong sehari.
Sebagai perbandingan, Selat Hormuz mencatatkan 20.9 juta tong sehari pada 2023, menurun daripada 21.1 juta pada tahun sebelumnya.
Terusan Suez bersama SUMED Pipeline pula merekodkan 8.8 juta tong minyak sehari pada 2023 manakala Laluan Bab el-Mandeb mencatat 8.6 juta tong minyak, menunjukkan peningkatan ketara sejak 2021.
Sementara itu, Selat Danish mencatatkan jumlah 4.9 juta tong, meningkat berbanding 4.2 juta pada tahun 2022.
Dalam tempoh yang sama, dunia menyaksikan penurunan kepada 3.7 juta tong sehari di Selat Turki (Dardanelles) manakala Terusan Panama mengekalkan jumlah 2.1 juta tong seperti tahun sebelumnya.
Cape of Good Hope mencatat 6.0 juta tong iaitu meningkat sedikit berbanding 5.9 juta tong pada 2022.
Jumlah tersebut meningkat berbanding 76.2 juta tong pada tahun 2022 dan 74.3 juta tong pada tahun 2021.
Data ini disediakan oleh EIA menerusi laporan Short-Term Energy Outlook, Mei 2024. Analisis turut dijalankan menggunakan data dari Vortexa dan Pihak Berkuasa Terusan Panama.
Menurut nota rasmi EIA, data Selat Danish tidak termasuk laluan Kiel Canal. Manakala data Panama Canal adalah berdasarkan tahun fiskal dari 1 Oktober hingga 30 September.
Data ini bakal dikemas kini pada Jun 2026.
Sumber: U.S. Energy Information Administration (EIA)
BACA: Avatar AI China Raih Jualan Lebih RM30 Juta Dalam 7 Jam
BACA: Peluru Berpandu Hipersonik Sukar Dipintas, Ini Sebabnya