Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Laluan Tikus” Pejalan Kaki CIQ BSI Ditutup Serta-Merta

Nurhanis
pejalan kaki ciq
Kredit: BERNAMA

“Laluan Tikus” Pejalan Kaki CIQ BSI Ditutup Serta-Merta

JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) — Jalan pintas atau dikenali sebagai “laluan tikus” bagi pejalan kaki untuk memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, akan ditutup berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tindakan penutupan dibuat berdasarkan faktor keselamatan berikutan terdapat laporan insiden kemalangan berlaku di kawasan berkenaan.

“Lorong tikus untuk masuk ke BSI itu sedang dikaji dengan rapi dan ada cadangan bagi jangka masa pendek iaitu buat (sediakan) bas henti-henti untuk mereka yang berjalan kaki dari kawasan Stulang menuju ke CIQ BSI.

“Terdapat juga kemalangan jiwa, kita risau kalau perkara ini terus berlaku dan juga isu kebolosan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan Di Tambak Johor di Kompleks CIQ BSI di sini hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof secara dalam talian itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

BACA: Kaki Lumpuh, Lebih 90 Pelajar Diserang Penyakit Misteri

Sebelum ini, media melaporkan lorong tikus berhampiran sebuah hotel di sepanjang Jalan Lingkaran Dalam itu, menjimatkan masa pejalan kaki dari Malaysia ke Singapura kerana pada masa ini mereka terpaksa berjalan sejauh 1.5 kilometer mengelilingi CIQ BSI.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri berharap akan ada berita baik untuk Johor dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.

“Segala permohonan yang diperlukan oleh Johor telah dibawa kepada Perdana Menteri, kita akan tunggu pengumuman itu. Saya yakin ada berita baik untuk Johor,” katanya.

Sumber: BERNAMA