Seorang wanita dilaporkan terjatuh daripada tebing sejurus selepas bersetuju menerima lamaran teman lelakinya, lapor Mirror.
Pasangan tersebut difahamkan melangsungkan lamaran itu daripada satu kawasan tinjauan yang menakjubkan di puncak gunung Falkert di Carinthia, Austria.

Malangnya, detik romantik mereka itu bertukar tragedi selepas wanita yang berusia 32 tahun berkenaan terjatuh 650 kaki di sebuah kawasan yang berbatu.
Mujur kawasan tersebut dilitupi dengan salji yang tebal ketika dia terjatuh, lapor Bild.
Teman lelakinya yang berusia 27 tahun itu cuba untuk menghalangnya daripada terjatuh dari tebing itu.
Dengan berbuat demikian, dia juga turut tergelincir dari gunung tersebut dan jatuh setinggi 50 kaki namun berjaya bergantung di tebing yang berbatu itu sehingga bantuan tiba.
Jurucakap polis tempatan berkata: “Mereka berdua sangat beruntung.
“Wanita itu jatuh 650 kaki di atas kawasan berbatu. Jika tidak ada salji, akibatnya pasti akan menjadi berbeza.”
Lelaki tersebut telah berpaut pada batu-batuan hingga diselamatkan oleh helikopter perkhidmatan kecemasan dengan menggunakan tali.
Selepas dia digegaskan ke hospital, dia dilaporkan patah pada bahagian tulang belakangnya.