LANGKAWI, MALAYSIA, 26 OGOS 2026 -Langkawi bakal menjadi pelabuhan persinggahan baharu bagi kapal persiaran Disney Cruise Line, Disney Adventure, dengan pulau itu dijadualkan menerima pelawat harian daripada pelayaran bermula 31 Disember 2026.
Pengumuman ini mengukuhkan lagi kedudukan Langkawi sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa yang tiba melalui pelbagai laluan dan pengalaman perjalanan untuk meneroka Asia Tenggara.
“Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan Disney Cruise Line ke Langkawi dan melihat pulau ini disenaraikan sebagai pelabuhan persinggahan baharu bagi pelayaran terpilih Disney Adventure.
“Ini merupakan peluang yang sangat menarik untuk Langkawi menerima kelompok pelawat baharu ke pulau ini, sekali gus memperkenalkan kepada mereka sisi Langkawi yang mungkin belum pernah mereka ketahui sebelum ini.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan-rakan industri pelancongan bagi memastikan para tetamu menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada di Langkawi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Haji Iskandar bin Datuk Haji Mohd Kaus.
Pelawat yang memilih untuk turun ke darat boleh menghabiskan masa mereka di Langkawi mengikut minat masing-masing kerana pulau ini menawarkan pelbagai pengalaman yang sesuai untuk keluarga dan pelancong.
Antaranya termasuk aktiviti berasaskan alam semula jadi, tarikan mesra keluarga, hasil kraf tempatan serta pengalaman kebudayaan.
Langkawi juga merupakan lokasi UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara, yang memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka warisan geologi dan alam semula jadi yang menjadi keunikan kepulauan Langkawi.
Semua pelayaran Disney Adventure akan tetap bermula dan berakhir di Singapura.
Bagi jadual pelayaran yang merangkumi persinggahan di Langkawi, para tetamu dibenarkan turun ke darat sepanjang tempoh kapal berlabuh, namun mereka tidak dibenarkan untuk memulakan atau menamatkan pelayaran di Langkawi.
Para tetamu juga perlu kembali ke kapal sebelum waktu akhir menaiki kapal yang akan dimaklumkan semasa berada di atas kapal.
Bagi Langkawi, pengumuman ini menandakan permulaan hubungan baharu dengan Disney Cruise Line, selain membuka satu lagi peluang untuk meletakkan pulau berkenaan dalam jadual perjalanan pelancong yang sedang meneroka Asia Tenggara.

