Kapal Tempur Pelbagai Guna (MPCS) Tentera Laut Itali, Giovanni Delle Bande Nere, dijadual mengadakan persinggahan di Pelabuhan Klang dari 8 hingga 11 Okt ini sebagai sebahagian daripada penugasan operasi Itali di rantau Indo-Pasifik.
Kapal berkenaan yang berlepas dari Taranto pada 3 Mei lepas akan membuat 10 persinggahan pelabuhan sepanjang penugasan itu, sekali gus memperkukuh kehadiran Itali di rantau berkenaan menerusi kerjasama antarabangsa yang lebih luas.
Bakal singgah di Pelabuhan Klang
Penugasan itu turut bertujuan mengetengahkan sistem Itali dari aspek teknologi, industri dan kebudayaan, selain mempromosikan kecemerlangan negara berkenaan menerusi pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang persinggahan.
Menurut kenyataan di laman sesawang Kedutaan Itali di Kuala Lumpur, lawatan Giovanni Delle Bande Nere ke Malaysia juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa yang telah terjalin sebelum ini antara unit Tentera Laut Itali dan negara-negara rakan di rantau berkenaan.
Lawatan itu mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan Itali untuk menunjukkan keupayaan negara itu beroperasi dalam persekitaran maritim global, selain memperkukuh kerjasama dengan tentera laut negara rakan.
Kerjasama berkenaan turut bertujuan menyokong usaha melindungi laluan komunikasi maritim serta memastikan kebebasan pelayaran.
Sehubungan itu, satu acara pembentangan yang memberi tumpuan kepada industri pertahanan Itali akan diadakan di atas kapal berkenaan pada 8 Okt.

