Larry Sambut Ulang Tahun Ke-15 Sebagai Ketua Pemburu Tikus Di UK
Larry, kucing paling terkenal di United Kingdom, menyambut ulang tahun ke-15 pada Ahad sebagai ketua pemburu tikus negara itu yang setia meronda di Nombor 10, Downing Street.
Direkrut untuk menangani masalah tikus, Larry tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 15 Februari 2011.
Ia diambil sebagai anak angkat daripada pusat perlindungan haiwan terkenal di London, Battersea Dogs and Cats Home, ketika dipercayai berusia sekitar empat tahun. Ketika itu, David Cameron merupakan Perdana Menteri.
Sejak itu, kucing berbulu putih dan hitam yang diperkenalkan secara rasmi di laman web Downing Street sebagai 'Ketua Pemburu Tikus Pejabat Kabinet' itu sering menjadi perhatian wartawan dan jurugambar.

Tugas Larry di Downing Street
Biografi rasminya di laman web Downing Street menyatakan, selain mengawal tikus, Larry menghabiskan hari-harinya menyambut tetamu, memeriksa pertahanan keselamatan dan menguji perabot antik untuk memastikan kesesuaiannya sebagai tempat tidur.
Larry telah melalui era enam Perdana Menteri, daripada Cameron hingga Keir Starmer, mengharungi badai Brexit, pandemik Covid-19, kekecohan ‘partygate’, tempoh 49 hari penuh dramatik Liz Truss, serta bulan-bulan yang lebih teratur di bawah Rishi Sunak.
Tiada apa yang nampaknya mengganggu ketenangan kucing veteran politik ini, yang bergerak dari satu krisis ke krisis lain dengan ketenangan seekor kucing, disertai jilatan santai pada tapak kakinya.
Sebagai kegemaran media, Larry yang kini dipercayai berusia sekitar 19 tahun sering mencuri perhatian berbanding pemimpin asing yang berkunjung.
Pada Disember lalu, ia muncul di hadapan pintu untuk menyambut Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Pempengaruh berbulu
Sebagai pempengaruh berbulu, Larry turut mempunyai akaun X, @Number10cat, dengan lebih 877,500 pengikut.
Dikendalikan oleh individu tanpa nama, Larry sering merungut tentang kehujanan dan kadangkala menyindir ahli politik, khususnya UK Reform serta pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kini, Larry berkongsi kediaman di No. 10 bersama JoJo dan Prince, kucing keluarga Starmer.
Prince, seekor kucing Siberia, menyertai keluarga itu pada 2024 selepas 'rundingan' dengan anak-anak Starmer yang sebenarnya mahukan seekor anjing German Shepherd.

