Layan Soalan Netizen, KA Jawab Soal Tempahan Orang Politik Di Rembayung
Nama Khairul Aming (KA) bukan lagi asing dalam dunia digital Malaysia.
Bermula sebagai pencipta kandungan masakan di media sosial, kini beliau dikenali sebagai usahawan berjaya dengan pelbagai produk makanan yang laris di pasaran.
Umum diketahui, KA mencipta satu lagi kejayaan apabila mengumumkan pembukaan restoran pertamanya yang diberi nama Rembayung.
Ia adalah satu langkah besar dalam perjalanan kariernya selepas lebih sedekad membina jenama dalam dunia atas talian.
Menurut KA, pembinaan restoran itu sebenarnya sudah dirancang dan dirahsiakan selama hampir setahun.
Selepas 10 tahun aktif dalam dunia digital, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk melangkah ke dunia perniagaan fizikal atau offline business.
Lebih menarik, Rembayung merupakan langkah pertama dalam pelan perniagaan jangka panjang 10 tahun akan datang.
Perjalanan bisnes KA juga sentiasa menjadi sorotan ramai. Setiap kali dia bersiaran langsung (live), ruangan komen dipenuhi peminat setia yang mahu mengikuti perkembangan terbaharu usahawan muda itu.
"Orang politik nak walk-in boleh ke?" - Netizen
Baru-baru ini, satu potongan klip siaran langsung KA di TikTok tular di media sosial.
Dalam klip itu, beliau menegaskan bahawa tiada layanan istimewa diberikan kepada sesiapa. Ini termasuk ahli politik, jika datang ke restoran secara walk-in tanpa tempahan.
Tegas KA, restoran Rembayung hanya menerima pelanggan yang membuat tempahan terlebih dahulu bagi memastikan layanan adil dan teratur.
"Tak boleh (walk-in). Kalau korang nampak orang politik masuk sekalipun, kemungkinan orang kanan, kakitangan bawahan atau pembantu peribadi (PA) yang membuat tempahan bagi pihak mereka. Itu saya tidak boleh kawal sebab itu hak dia untuk datang kerana ada tempahan tetapi kalau nak walk-in saya memang tidak benarkan," katanya.
"Saya nak berlaku adil..." - KA
Mengulas lanjut, KA mengakui bukan mudah untuk memberikan layanan sama rata kepada semua pelanggan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan individu berpengaruh atau VIP.
Namun, beliau tetap berpegang pada prinsip keadilan.
"Saya nak berlaku adil dan ia bukan mudah. Kita akan nampak kejam, tidak berhati perut dan sombong tetapi itu adalah harga sebuah keadilan," katanya.