Lebih 30,000 penghantar makanan foodpanda kini mendapat akses kepada perlindungan kewangan sekiranya tidak dapat bekerja akibat banjir menerusi inisiatif Climate Income Protection yang diperkenalkan oleh PolicyStreet dengan kerjasama foodpanda serta sokongan BlueOrchard.
Ditawarkan secara percuma mulai 26 November, perlindungan ini memberi bantuan kewangan kepada rakan penghantar yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk menjana pendapatan.
Inisiatif yang disifatkan sebagai perlindungan insurans iklim pertama seumpamanya untuk pekerja gig di Malaysia itu merupakan peluasan kepada perlindungan sedia ada foodpanda Protect, yang sebelum ini memberi perlindungan berkaitan insiden semasa bekerja.
Menurut Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PolicyStreet, Yen Ming Lee, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah kejadian banjir yang dilaporkan meningkat daripada 809 pada 2023 kepada 1,345 pada 2024.
Katanya, situasi banjir bukan sahaja menjejaskan keselamatan keluarga pekerja gig, malah boleh menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan.
Menerusi kerjasama itu, PolicyStreet berharap dapat menyediakan perlindungan insurans yang lebih mudah diakses, khususnya kepada golongan yang kurang mendapat kemudahan perlindungan kewangan.
Di bawah program rintis ini, penghantar yang dipindahkan ke PPS selama tujuh hari atau lebih akibat banjir layak menerima bayaran sekali sebanyak RM350 bagi setiap tahun polisi.
Bayaran itu bertujuan membantu menampung kehilangan pendapatan akibat banjir. Penghantar yang layak juga tidak perlu mengemukakan tuntutan atau sebarang dokumen.
Sekiranya berlaku banjir, PolicyStreet akan bekerjasama dengan foodpanda untuk mengenal pasti penghantar yang dipindahkan secara rasmi ke PPS sebelum bayaran disalurkan terus ke akaun mereka menerusi foodpanda.
Pengarah Pelaburan Ekuiti Swasta BlueOrchard, Alice Mak berkata, program rintis itu bertujuan membantu melindungi pekerja gig daripada kesan kewangan akibat banjir, selain memberi peluang kepada pihak terlibat untuk memahami bagaimana perlindungan insurans boleh menangani risiko berkaitan perubahan iklim dengan lebih berkesan.
Beliau berharap pengalaman daripada program itu dapat membantu pembangunan produk perlindungan pada masa hadapan, termasuk untuk golongan lain yang berdepan risiko sama.
Inisiatif Climate Income Protection itu diumumkan menjelang sesi perbincangan bersama Yen Ming Lee dan Pengerusi Majlis Insurans Persatuan FinTech Malaysia, Amitabh Singh, menerusi program The Insurtech Brief.
Sesi berkenaan membincangkan peranan teknologi dalam mengubah industri insurans, termasuk usaha memperluas akses kepada perlindungan, memastikan kos insurans kekal mampu milik serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan industri.
