Sudah lebih 50 tahun Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) beroperasi di Malaysia, namun baru kali ini perkhidmatan tersebut mendapat perhatian ramai.
Perhatian itu hadir susulan tragedi apabila sebuah helikopter FDS terhempas di Long Lellang pada petang 8 September.
Insiden tersebut tentunya bukan sesuatu yang wajar dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pasukan perubatan yang sedang menjalankan tugas untuk masyarakat di kawasan pedalaman.
Pada masa sama, kejadian itu telah membuka mata ramai untuk mla mengenali perkhidmatan kesihatan yang selama ini mungkin jarang diketahui masyarakat di luar kawasan terbabit.
Ini Kisah FDS, Bermula Di Sarawak Pada 1973
Perkhidmatan Doktor Udara diperkenalkan di Sarawak pada September 1973 bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman yang sukar atau tidak dapat dihubungi melalui pengangkutan darat.
Pada peringkat awal, sebanyak 40 kampung dengan kira-kira 32,000 penduduk dikenal pasti sebagai kawasan yang memerlukan perkhidmatan tersebut.
Kawasan berkenaan mempunyai cabaran dari segi bentuk muka bumi dan kekurangan akses jalan raya, menyebabkan perjalanan ke kemudahan kesihatan menjadi sukar.
Daripada meminta penduduk menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan, konsep FDS membawa pasukan kesihatan terus kepada komuniti terbabit.
Perkhidmatan itu kemudiannya dijadikan perkhidmatan tetap pada Mei 1975 selepas dua helikopter Bell diperoleh untuk menjalankan operasi.
Menjelang 1977, jumlah helikopter meningkat kepada tiga buah dan FDS telah meliputi 227 lokasi di Sarawak, termasuk 52 lokasi di Bahagian Ketujuh ketika itu.
Jadi, Kenapa Doktor Perlu Terbang?
Bagi masyarakat yang tinggal di bandar, pergi ke klinik mungkin sekadar memandu beberapa minit atau menaiki pengangkutan awam.
Namun, keadaan itu jauh berbeza bagi sesetengah komuniti pedalaman yang dipisahkan daripada kemudahan kesihatan oleh hutan, sungai, gunung-ganang dan ketiadaan jalan raya.
Sebab itu, helikopter menjadi sebahagian penting dalam operasi FDS kerana ia membolehkan pasukan perubatan sampai ke kawasan yang sukar dicapai melalui laluan biasa.
Helikopter juga bukan sekadar membawa doktor dan petugas kesihatan, tetapi boleh digunakan untuk membawa bekalan perubatan serta memindahkan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Bukan Sarawak sahaja ada FDS

Jika menyebut sejarah FDS di Malaysia, Sabah juga mempunyai cerita tersendiri.
Yayasan Sabah memulakan perkhidmatan doktor udara pada 1975 untuk membantu penduduk luar bandar yang tinggal di kawasan terpencil dan sukar dihubungi melalui jalan raya atau sungai.
Pada ketika itu, helikopter Sabah Air digunakan untuk membawa pasukan perubatan melakukan lawatan berkala ke kampung-kampung pedalaman.
Rekod Yayasan Sabah pada 1981 menunjukkan pasukan tersebut melawat 61 pusat secara bergilir setiap enam minggu, dengan perkhidmatan yang merangkumi rawatan penyakit biasa dan penjagaan kesihatan asas.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pula memulakan pasukan FDS sendiri pada Jun 1978 sebelum mengambil alih perkhidmatan yang dimulakan Yayasan Sabah secara beransur-ansur.
Pasukan pertama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berpangkalan di Kota Kinabalu, manakala pasukan kedua ditubuhkan di Sandakan pada 1980.
Pembahagian operasi itu menggunakan Banjaran Crocker sebagai sempadan, dengan pasukan Kota Kinabalu meliputi kawasan pedalaman pantai barat dan pasukan Sandakan memberi perkhidmatan di bahagian timur Sabah.
Apa yang doktor buat apabila sampai?
FDS bukan sekadar membawa doktor ke kawasan pedalaman untuk merawat pesakit yang sakit pada hari berkenaan.
Pasukan perubatan turut menjalankan pemeriksaan kesihatan, rawatan asas, imunisasi, penjagaan ibu dan anak serta susulan bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik.
Program berkaitan penyakit berjangkit seperti tuberkulosis dan malaria juga menjadi sebahagian daripada skop perkhidmatan yang dijalankan di kawasan pedalaman.
Dalam sesetengah operasi, pegawai kesihatan yang bertanggungjawab terhadap kesihatan ibu dan anak, tuberkulosis atau malaria turut menggunakan penerbangan FDS untuk membuat lawatan penyeliaan ke klinik.
Ini bermakna satu penerbangan FDS boleh melibatkan beberapa tugasan kesihatan serentak, bergantung kepada keperluan kawasan yang dilawati.
FDS masih diperlukan sampai hari ini
Lebih lima dekad selepas diperkenalkan, FDS masih diperlukan kerana pembangunan infrastruktur belum menghapuskan semua cabaran untuk sampai ke kawasan pedalaman.
Setakat April 2026, terdapat 97 lokaliti di Sarawak yang masih memerlukan perkhidmatan FDS, khususnya di kawasan Kapit, Miri dan Limbang.
Lawatan ke lokasi tertentu dilakukan setiap bulan, manakala sesetengah kawasan dikunjungi setiap dua bulan bergantung kepada keperluan dan keupayaan operasi.
Jadi, FDS sebenarnya bukan sekadar cerita tentang sebuah helikopter yang membawa doktor ke kawasan pedalaman.
Selama lebih lima dekad, perkhidmatan ini menjadi sebahagian daripada cara sistem kesihatan negara mengatasi cabaran geografi untuk memastikan penduduk di kawasan terpencil tidak terputus daripada mendapatkan rawatan.
Dan itulah sebabnya, apabila sebuah helikopter FDS berlepas menuju ke kawasan pedalaman, penerbangan itu membawa lebih daripada sekadar penumpang.

