Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lebih 62 Peratus Tuntutan Lindung 24 Jam Diluluskan Oleh PERKESO

PERKESO

Lebih 62 Peratus Tuntutan Lindung 24 Jam Diluluskan Oleh PERKESO

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan bayaran faedah berjumlah RM672,743.10 menerusi skim baharunya, LINDUNG 24 Jam, bagi membantu pencarum yang ditimpa musibah di luar waktu kerja. 

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan memaklumkan dalam tempoh 21 hari pertama pelaksanaan sejak 1 Jun lalu, PERKESO membuktikan kecekapan operasinya dengan meluluskan 136 kes tuntutan faedah LINDUNG 24 Jam yang diterima pertubuhan itu. 

"Ramai yang memahami bahawa PERKESO memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja sahaja, namun menerusi LINDUNG 24 Jam, ia kini diperluaskan kepada insiden luar waktu kerja termasuk hari cuti. 

"Langkah proaktif ini, meluluskan 62.9 peratus tuntutan bertujuan memastikan Orang Berinsurans (OB) yang ditimpa musibah di luar waktu tugasan hakiki mereka tetap mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menutup kelompangan yang wujud sebelum ini,” menurut beliau. 

Ramanan menjelaskan, perlindungan komprehensif seperti ini amat penting kerana musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi, seperti yang dibuktikan menerusi beberapa kes awal yang diterima pihaknya. 

Antara penerima terawal skim LINDUNG 24 Jam adalah melibatkan tragedi menyayat hati, kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor yang menyaksikan dua mangsa, Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, menjadi penerima pertama skim berkenaan. 

Sementara itu di Keningau, Sabah, petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Brissty Vidalyn Felicianus, 33, turut dilindungi selepas kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam gaung ketika pulang daripada aktiviti pendakian. 

“Mangsa yang mengalami patah bahu dan kaki kanan itu kini dalam pemantauan Skuad Prihatin PERKESO dan disahkan menerima gantian pendapatan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakitnya. 

“Kepentingan perlindungan 24 jam ini turut dizahirkan di Perak, melibatkan seorang runner syarikat kereta terpakai, Chen Chee Ling, 51, yang patah pergelangan tangan kanan akibat tergelincir di sebuah kedai makan ketika menjamu bersama keluarga,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan semua majikan dan pekerja di seluruh negara untuk memastikan caruman dipatuhi sebaiknya demi menjamin perlindungan yang optimum, bukan hanya ketika bekerja tetapi juga di luar waktu bekerja. 

"Sama ada ketika bersukan, beriadah, bercuti mahupun menjalani aktiviti harian, kemalangan boleh mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata dan caruman inilah yang akan membantu kelangsungan hidup mereka," tambah kenyataan itu.