Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lebih 80,000 Tandatangan Petisyen Desak Final Piala Dunia 2026 Diulang

DUNIA
Tangkap layar Change.org

Lebih 80,000 Tandatangan Petisyen Desak Final Piala Dunia 2026 Diulang

Kekalahan Argentina kepada Sepanyol dalam aksi final Piala Dunia 2026 terus mencetuskan kontroversi apabila lebih 80,000 penyokong menandatangani petisyen menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengadakan semula perlawanan tersebut.

Menurut Euronews, petisyen yang dimulakan oleh seorang penyokong Argentina, Gisela Sánchez, di platform Change.org mendakwa pengadil dari Slovenia, Slavko Vincic, mengendalikan perlawanan secara "kontroversi dan berat sebelah".

Petisyen itu turut menggesa FIFA menyemak semula beberapa keputusan pengadilan yang didakwa memihak kepada Sepanyol ketika aksi final yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai lalu.

Bagaimanapun, petisyen berkenaan tidak mengemukakan sebarang bukti yang disahkan bagi menyokong dakwaan tersebut, sebaliknya hanya merujuk kepada beberapa rakaman video yang tular di media sosial.

Sehingga laporan ini ditulis, petisyen itu telah mengumpulkan lebih 80,000 tandatangan.

Menurut laporan itu lagi, peraturan FIFA hanya membenarkan sesuatu perlawanan diulang dalam keadaan luar biasa, seperti berlaku pelanggaran serius terhadap peraturan pertandingan atau keputusan rasmi badan induk sebelum keputusan perlawanan disahkan.

Justeru, petisyen di Change.org, walaupun menerima jumlah tandatangan yang tinggi, tidak mempunyai sebarang kuasa dari sudut undang-undang atau sukan untuk membatalkan kemenangan Sepanyol atau memaksa final tersebut dimainkan semula.

Insiden seumpama itu bukan kali pertama berlaku.

Selepas Argentina muncul juara Piala Dunia 2022 di Qatar, lebih 200,000 penyokong Perancis turut menandatangani petisyen mendesak final ketika itu diulang kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Namun, kempen tersebut juga tidak membawa sebarang perubahan terhadap keputusan rasmi kejohanan.

Dalam perkembangan sama, FIFA dilaporkan telah membuka siasatan disiplin susulan beberapa insiden yang berlaku selepas tamat perlawanan.

Namun, siasatan itu bukan melibatkan keputusan pengadil, sebaliknya tertumpu kepada kekecohan yang berlaku membabitkan pemain kedua-dua pasukan.

Antara yang disiasat ialah pemain tengah Argentina, Leandro Paredes, yang didakwa mencekik pertahanan Sepanyol, Eric Garcia, selain menolak Gavi ketika sambutan kemenangan Sepanyol.

Insiden itu menyaksikan Paredes dilayangkan kad merah selepas wisel penamat.

FIFA turut meneliti dakwaan membabitkan Nahuel Molina yang dikatakan memukul Rodri, selain penglibatan penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala, yang didakwa menolak Dani Olmo.

Selain itu, badan induk bola sepak dunia itu turut menyiasat tindakan beberapa pemain Argentina yang dilihat membelakangi majlis penyampaian trofi ketika Sepanyol menjulang kejuaraan.

Siasatan tersebut turut mengaitkan semula insiden pada aksi separuh akhir apabila pemain Argentina mempamerkan sepanduk menuntut kedaulatan negara itu ke atas Kepulauan Falkland selepas menewaskan England, yang sebelum ini telah menyebabkan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dikenakan denda.

Sementara itu, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, menggesa semua pihak menerima kekalahan dengan hati terbuka.

"Kita perlu berlapang dada ketika menang dan juga ketika tewas," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

FIFA dijangka mengumumkan hasil siasatan disiplin tersebut selepas proses siasatan selesai dijalankan.

Sumber:euronews