Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Legenda United, Wayne Rooney Dedah Penyesalan Terbesar Dalam Karier

Hannah
penyesalan wayne rooney
Gambar: AFP

Legenda United, Wayne Rooney Dedah Penyesalan Terbesar Dalam Karier

Bekas bintang Manchester United dan legenda bola sepak England, Wayne Rooney, akhirnya mendedahkan penyesalan terbesar dalam sepanjang kariernya. Siapa sangka, ia melibatkan bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo.

Walaupun pernah beraksi di tiga Piala Dunia, Rooney mengakui bahawa beliau sepatutnya tidak menyertai Piala Dunia 2006 kerana ketika itu dirinya tidak berada pada tahap kecergasan terbaik.

Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa perpindahannya ke Manchester United hampir tidak berlaku selepas sebuah kelab saingan Premier League cuba mendapatkannya.

“Saya menyesal…” – Rooney akui tak sepatutnya sertai Piala Dunia 2006

Beberapa bulan sebelum Piala Dunia 2006 diadakan di Jerman, Rooney berada di kemuncak prestasinya selepas mencuri tumpuan di Euro 2004.

Namun, segalanya berubah apabila beliau mengalami kecederaan metatarsal ketika beraksi menentang Chelsea hanya sebulan sebelum kejohanan bermula.

Walaupun berusaha pulih tepat pada waktunya, kejohanan tersebut berakhir dengan kekecewaan besar apabila Rooney dilayangkan kad merah dalam perlawanan suku akhir menentang Portugal.

Insiden itu berlaku selepas beliau terpijak Ricardo Carvalho, dan Ronaldo dilihat antara pemain yang mendesak pengadil supaya mengeluarkan kad merah.

Detik yang menjadi bualan dunia itu turut diingati apabila Ronaldo mengenyit mata ke arah bangku simpanan Portugal selepas Rooney diarah keluar padang.

“Saya menyesal pergi ke Piala Dunia 2006. Saya tidak cergas, saya sepatutnya tidak pergi, dan akhirnya saya dibuang padang. Jika boleh diundurkan masa, saya mungkin akan memilih untuk tidak menyertainya,” katanya ketika mengulas semula kejadian itu dalam rancangan The Wayne Rooney Show di BBC.

“Saya lebih laju daripada Ronaldo.” – Rooney

Dalam segmen lain, Rooney sempat mendedahkan bahawa beliau lebih pantas daripada Ronaldo dalam ujian kepantasan di Manchester United.

“Kami buat ujian larian 30 meter, dan saya berada di tangga teratas. Owen Hargreaves di tempat kedua. Ramai tak sangka dia juga laju. Jadi, ya, saya memang lebih laju daripada Ronaldo,” katanya sambil ketawa.

Namun Rooney mengakui bahawa Ronaldo mempunyai kelebihan dari segi kawalan bola dan kelajuan ketika menggelecek. Itulah aspek yang menjadikan Ronaldo antara pemain terbaik dunia.

Ronaldo Masih Gah, Rooney Ramal Capai 1,000 Gol

Walaupun Rooney telah bersara pada 2020, Ronaldo masih aktif bermain bersama Al-Nassr dan skuad kebangsaan Portugal.

Rooney percaya rakan lamanya itu mampu mencapai impian menjaringkan 1,000 gol sepanjang kariernya.

“Saya yakin 100 peratus dia boleh capai. Malah, saya rasa dia akan terus bermain sehingga dapat beraksi bersama anaknya sendiri,” kata Rooney.

Hampir sertai Newcastle United sebelum ke Old Trafford

Selain penyesalan di pentas dunia, Rooney turut berkongsi bahawa perpindahannya ke Manchester United hampir tidak menjadi kenyataan.

Menurutnya, Newcastle United ketika itu turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebelum beliau akhirnya menyertai United dengan nilai perpindahan £27 juta pada 2004.

“United sebenarnya mahu tunggu semusim lagi sebelum menandatangani saya. Tetapi Newcastle telah mengemukakan tawaran rasmi. Jika United tidak masuk campur, saya pasti akan ke Newcastle,” katanya.

Rooney menambah bahawa ketika itu beliau bahkan sempat berbual dengan Sir Bobby Robson dan legenda Newcastle, Alan Shearer.

Legenda Manchester United selamanya

Keputusan Manchester United menandatangani Rooney pada 2004 terbukti langkah bijak. Sepanjang 13 tahun bersama kelab itu, beliau menjaringkan 253 gol dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman United.

Rooney turut membantu pasukan meraih 12 trofi utama, termasuk lima kejuaraan Premier League dan satu Liga Juara-Juara Eropah (UEFA Champions League).

BACA: Ronaldo Tak Setuju Messi Pemain Terhebat Sepanjang Zaman

Sumber: Goal.com