Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Cipta Aplikasi Taubat, Boleh Pantau Solat & Amalan Harian

Lelaki Cipta Aplikasi Taubat
Kredit: Izuddin Helmi
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Lelaki Cipta Aplikasi Taubat, Boleh Pantau Solat & Amalan Harian

Sebagai manusia, kita tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan, termasuk dalam soal ibadah sebagai umat Islam.

Dalam usaha untuk menjadi insan yang lebih baik, ramai yang memasang niat untuk berubah. Namun, kita kadang kala memerlukan peringatan atau panduan agar perubahan itu bukan sekadar azam sementara, sebaliknya menjadi langkah istiqamah yang berterusan.

Di era serba digital ini, segalanya boleh dilakukan di hujung jari, termasuk soal ibadah dan muhasabah diri.

Terbaru, satu aplikasi yang dikenali sebagai Taubat yang dibangunkan oleh anak tempatan telah mencuri tumpuan ramai.

Dibina untuk mereka yang ingin kembali

Aplikasi itu dicipta dengan harapan dapat membantu mereka yang ingin memperbaiki ibadah solat serta berusaha membina rutin ibadah yang lebih konsisten.

Pembangun aplikasi tersebut, Izuddin Helmi berkata ini merupakan salah satu tanggungjawab sosialnya selepas berjaya bersara.

Malah, ilham untuk mencipta aplikasi tersebut juga berdasarkan pengalamannya sendiri serta orang di sekelilingnya.

“Ada kawan yang nak berubah, tapi mereka segan nak minta tolong,” katanya kepada SK.

Menerusi satu kiriman di Threads, Izuddin berkata aplikasi tersebut diciptanya khas buat orang yang selalu tinggal solat, orang yang sudah lama tidak solat (lupa baca apa dalam solat) dan orang yang cuba solat pada awal waktu.

“Bukan untuk benda lain. Memang ada banyak aplikasi yang sama, tapi masalah-masalah yaang kami nak cuba selesaikan ini lain.

“Saya janji tak letak iklan. Tiada langganan, percuma untuk digunakan selama-lamanya,” katanya.

Dalam erti kata lain, aplikasi ini bukan untuk Muslim yang sempurna, tetapi untuk mereka yang sedang berusaha.

“TaubatApp dibina untuk mereka yang ingin kembali. Mereka yang membisikkan doa selepas bertahun-tahun berdiam diri.

“Mereka yang membuka Al-Quran buat kali pertama dalam masa yang lama dan merasakan sesuatu bergejolak di dalam diri.

“Aplikasi ini tidak akan menghakimi anda. Ia tidak akan membuat anda rasa bersalah. Ia hanya akan berada di sana, seperti teman yang pendiam yang mengingatkan anda bahawa setiap langkah menuju Allah adalah penting, tidak kira betapa kecilnya,” katanya menerusi laman web TaubatApp.

Orang ramai boleh menggunakan ciri penjejakan solat, al-Quran, Iqra, penjejak haid dan banyak lagi.

Aplikasi itu kini hanya tersedia di App Store.